Selasa, 26 Januari 2021
AM
14/01/2021 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan  -- Walaupun negara maju lain serta negara jiran telah mula menerima vaksin COVID-19, Malaysia berada dalam landasan tepat untuk menerima bekalan vaksin itu bulan depan dan masih merupakan antara negara terawal di Asia Pasifik untuk menerimanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata Malaysia tidak terlewat walaupun negara lain telah menerima bekalan vaksin lebih awal dengan membayar wang pendahuluan yang tinggi sebelum data keselamatan dan keberkesanan diterbitkan.

“Malaysia membuat keputusan perolehan berdasarkan penelitian ujian klinikal tanpa perlu membayar harga premium atau wang pendahuluan yang tinggi. Maka Malaysia boleh menilai proses vaksinasi di negara lain supaya apabila pelaksanaan vaksinasi kelak, kita mampu melaksanakan secara teratur dan berkesan. 

“Ramai yang mempersoalkan tentang 'kelewatan' Malaysia dalam memperoleh vaksin terutamanya apabila melihat negara jiran mula menerima vaksin COVID-19. Saya ingin jelaskan bahawa Malaysia masih lagi ‘on-track’, malah tempoh masa ini telah dipersetujui dalam rundingan bersama Pfizer pada November lepas,” katanya dalam ciapan Twitter beliau hari ini.

Mengenai proses penerimaan vaksin bulan depan, Khairy berkata kesemua vaksin yang ditempah tidak akan diterima secara serentak sebaliknya mengikut suku tahunan.

“Untuk vaksin keluaran Pfizer, satu juta dos akan diterima pada suku pertama, 1.7 juta (suku kedua), 5.8 juta (suku ketiga) dan 4.3 juta (suku keempat). Ini juga adalah sama dengan vaksin keluaran syarikat lain yang telah ditempah,” kata Khairy.

Memperincikan pemberian vaksinasi, beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 telah membuat perancangan vaksinasi mengikut senarai keutamaan dengan matlamat melindungi kumpulan paling berisiko tinggi iaitu petugas barisan hadapan sektor keselamatan serta kesihatan.

“Disusuli warga emas dan individu berpenyakit kronik diikuti populasi dewasa lain bagi membentuk imuniti kelompok. Jika anda adalah seorang dewasa yang sihat di bawah umur 60 tahun dan bukan petugas barisan hadapan, jangkaan paling awal menerima vaksin adalah pada suku ketiga tahun ini,” katanya.

Menurut beliau, mengurus jangkaan adalah penting memandangkan pelan vaksinasi Malaysia mengambil masa sehingga 18 bulan.

Selain itu, Khairy turut memberi jaminan bahawa kesemua vaksin dikenal pasti selamat serta berkesan bagi memastikan kepentingan orang ramai serta kewangan negara terpelihara.  

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan