KUALA LUMPUR, 7 Jan -- Malayan Banking Bhd (Maybank) sekali lagi diiktiraf sebagai antara organisasi berprestasi tinggi menerusi senarai Willis Towers Watson (WTW) 2020 yang juga penanda aras normatif antarabangsa bagi syarikat sedemikian.
Dalam kenyataan hari ini, Maybank yang juga bank terbesar negara dari segi aset itu berkata, ini kali kelima baginya dinobatkan sebagai organisasi dengan prestasi kewangan cemerlang dan berterusan serta komitmen kukuh dan fokus terhadap pengalaman kakitangan.
Pengiktirafan tersebut turut menjadikan Maybank setanding dengan 34 syarikat global WTW yang merangkumi organisasi terkenal seperti Royal Bank of Canada, Groupe Danone, Coca Cola, AstraZeneca dan AT&T.
WTW juga menyenaraikan Maybank sebagai antara organisasi dengan pengalaman kakitangan paling positif di seluruh dunia serta turut bertindak pantas mempercepatkan pelan krisisnya sejak Januari 2020 ketika pandemik COVID-19.
Sementara itu, Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Nora Manaf berkata sejak setahun lepas, bank itu telah merancang program pembelajaran untuk memudahkan peralihan kakitangannya kepada situasi bekerja dari rumah.
“Kami turut menyediakan sistem sokongan serta penglibatan untuk terus memupuk rasa bangga dan kekitaan dalam diri pekerja serta memastikan mereka stabil secara emosi, mental, fizikal dan memaparkan prestasi terbaik," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Negara Willis Towers Watson Lim Chin Han Faktor berkata faktor utama kejayaan Maybank adalah kesediaan bank tersebut membantu kakitangan memastikan pendapat mereka turut mendapat tempat dalam organisasi tersebut.
“Tindakan memberi tumpuan kepada setiap kakitangan sebagai individu itu membolehkan Maybank memberi peluang kepada kakitangannya mengembangkan kemahiran serta laluan untuk berjaya dan seterusnya membina jati diri yang kuat dalam diri individu itu sendiri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial