Sabtu, 16 Januari 2021
AM
07/01/2021 12:36 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jan -- Saluran berita 24 jam, Bernama TV mencipta sejarah menjadi stesen penyiaran televisyen kedua di negara ini menggunakan perkhidmatan jurubahasa isyarat bagi siaran berita.

Bermula malam ini, siaran Buletin Bernama turut dilengkapi dengan jurubahasa isyarat, dan Bernama TV yang mula dilancarkan sejak 2008, kini menjadi stesen penyiaran pertama di negara ini menggunakan perkhidmatan jurubahasa isyarat bagi siaran berita sukan. 

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Ras Adiba Radzi berkata penambahbaikan itu dilakukan bagi memberi lebih pilihan dan peluang kepada Orang Kurang Upaya (OKU) terutama kategori Orang Pekak menikmati siaran berita itu.

"Kami ingin memastikan berita disampaikan adalah mesra OKU supaya semua kategori OKU dapat menghayati berita yang ingin disampaikan, bermakna Bernama tidak mendiskriminasikan sesiapa, dan memastikan maklumat sampai kepada semua OKU di seluruh negara," katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau operasi Bernama TV yang mula menggunakan perkhidmatan jurubahasa isyarat bagi siaran berita sukan dan Buletin Bernama di Wisma Bernama di sini, hari ini.

Ras Adiba turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah kerana telah memberi kebenaran dalam merealisasikan cadangan menggunakan khidmat jurubahasa isyarat dalam siaran berita.

Ketua Penyiaran (TV dan Radio Bernama) Roslan Ariffin berkata enam ahli Persekutuan Orang Pekak Malaysia ditugaskan secara bergilir membantu menterjemahkan berita kepada bahasa isyarat.

Beliau berkata buat permulaan khidmat jurubahasa isyarat digunakan bagi siaran berita secara langsung selama 45 minit, bermula dengan berita sukan pada pukul 7.45 malam dan edisi berita bahasa Melayu dalam Buletin Bernama pada pukul 8.00 malam.

"Ini adalah pembaharuan ketara selepas 13 tahun Bernama TV beroperasi dan usaha ini amat prihatin kerana selama ini hanya Radio Televisyen Malaysia (RTM) menggunakan khidmat jurubahasa isyarat dalam menterjemahkan berita.

"Ia akan memberi akses informasi yang lebih meluas terutama kepada komuniti pekak dan kurang daya pendengaran bagi mengikuti perkembangan berita semasa dalam dan luar negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan