EKONOMI

10 syarikat berlesen bekal benih padi sah kepada NAFAS bagi program IBPS

22/12/2020 08:08 PM

TANJONG KARANG, 22 Dis -- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), akan membeli benih padi sah daripada 10 syarikat berlesen yang telah dikenal pasti bagi program Insentif Benih Padi Sah (IBPS).

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS Dr Anis Mahmud berkata, sebanyak 36,000 tan metrik benih padi yang dibeli daripada syarikat tersebut, akan dibekalkan kepada kira-kira 320,000 petani di Semenanjung bermula musim pertama penanaman padi, awal tahun depan.

“NAFAS bersedia menjadi pemborong tunggal bagi membekalkan benih padi sah kepada pesawah dengan harga siling RM35 setiap 20 kilogram (kg) yang ditetapkan MAFI.

“Kami juga akan melantik ejen berdaftar agar benih padi sah ini sampai kepada pesawah,” katanya pada pemberita selepas Program Pengagihan Benih Padi Sah di Pusat Belian Padi Sawah Sempadan, yang dilancarkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Anis berkata penetapan harga siling oleh MAFI itu juga secara tidak langsung membantu pesawah mengurangkan kos pembelian benih padi sah, selain dapat menggalakkan penggunaan benih yang bermutu tinggi, rintang penyakit serta mengurangkan risiko padi angin.

“Penetapan harga maksimum RM35 setiap 20 kg benih padi sah merupakan penjimatan yang sangat banyak, kerana sebelum ini ada pesawah membeli benih padi sehingga RM60 bagi setiap 20 kg,” katanya.

Seorang pesawah Abdul Razak Mat Ajir, 73, ketika ditemui Bernama pada program itu menyifatkan, penetapan harga siling benih padi sah dapat mengurangkan beban dan kos golongan tersebut, yang perlu mengeluarkan banyak modal terutamanya ketika penanaman di awal musim.

“Sebelum ini harga benih padi sah pernah mencecah RM70 setiap 20 kg. Langkah kerajaan memperkenalkan harga siling, melegakan kami dan ia mengurangkan modal yang dikeluarkan terutama pada awal musim penanaman padi,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Mohamad Ngizi Abd Rashid, 51, turut berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif mengurangkan harga benih padi sah, yang secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.

Pada persidangan Dewan Negara Rabu lepas Kiandee berkata, penambahbaikan program IBPS adalah bagi menjamin mutu perkhidmatan, selain memberikan hak kepada pesawah memilih jenis benih padi sah yang terbaik untuk ditanam di sawah mereka.

Penambahbaikan IBPS menggariskan lima hala tuju iaitu melantik NAFAS sebagai pemborong tunggal program berkenaan; penetapan harga siling benih padi sah RM35 setiap beg (20kg); lesen dan permit pengedaran diberikan kepada mereka yang berdaftar dengan kerajaan; penetapan beberapa variasi benih padi sah akan dihasilkan syarikat pengeluar benih sah, serta menyediakan stok penimbal benih padi sah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan