KUALA LUMPUR, 17 Dis -- Semasa dunia berdepan dengan krisis pandemik COVID-19 yang terus menjejaskan kehidupan gadis dan wanita secara drastik, Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) Malaysia bagi pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam hari ini menganjurkan Malaysia Women and Girls Forum (MWGF) buat julung kalinya.
UNFPA Malaysia dalam satu kenyataan berkata forum dengan tema 'Malaysia’s Women and Girls at the Heart of the COVID-19 recovery', yang disiarkan menerusi penstriman langsung di Facebook, turut merangkumi penyertaan ahli akademik, penyokong, aktivis, media pertubuhan masyarakat sivil, wakil kerajaan dan juga orang awam.
Senator Ras Adiba Radzi yang mewakili Orang Kurang Upaya (OKU) di Dewan Negara, yang juga pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), semasa berucap di majlis pelancaran forum itu berkata acara berkenaan boleh menjadi titik tolak kecemerlangan Malaysia dengan mengetengahkan kegigihan gadis dan wanita dalam mengharungi pemulihan COVID-19.
Dalam memperakui impak negatif COVID-19 terhadap kehidupan gadis dan wanita Malaysia, Ras Adiba memuji PBB dan UNFPA Malaysia mewujudkan plafrom yang memang diperlukan, tepat pada masanya, membantu dalam menyalur serta mengukuhkan langkah-langkah perlu dan pertimbangan yang diperlukan bagi meningkatkan aspek kebajikan dan hak mereka.
"Dalam setiap cabaran, malapetaka atau musibah, sinar ke arah pembangunan semula tetap ada, dan saya percaya ini adalah saat dan masa yang tepat bagi kita sebagai rakyat Malaysia, untuk bersatu dan membentuk Malaysia yang lebih baik, lebih mantap dan adil.
“Ketika ini adalah penting bagi kita memastikan gadis dan wanita kita tidak ketinggalan di belakang dari segi sosial, ekonomi dan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata penyelesaian dalam membasmi ketidaksamaan gender dan norma yang ketinggalan zaman adalah jelas, yakni perlunya program ‘outreach’ dan kesedaran yang lebih mantap, di mana kaum lelaki lebih peka isu gender.
Sementara itu Penyelaras Residen PBB bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam Stefan Priesner dalam ucapan aluannya mengetengahkan kepentingan dalam memastikan kaum wanita di Malaysia tidak ketinggalan jauh di belakang, kerana ia akan menjejaskan kemajuan dalam usaha negara untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) 2030.
“SDG 5 - kesaksamaan gender adalah isu penting dalam pencapaian SDG di seluruh dunia, lebih-lebih lagi semasa kita bergerak dan bekerjasama untuk pulih daripada bencana yang dibawa pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau turut mengetengahkan isu-isu teras yang perlu ditangani selaras dengan kemunculan pandemik itu yang antaranya termasuk Hak Seksual dan Reproduktif, Pendidikan Seksual Komprehensif, mekanisme perlindungan dan sokongan yang lebih baik untuk mangsa keganasan rumah tangga, meminda undang-undang buruh dan undang-undang diskriminasi, serta menangani secara proaktif isu jurang penggajian antara gender.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial