MUAR, 13 Dis -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan pekebun sayur berkelompok di Sengkang, Bukit Gambir, di sini agar membangunkan sebuah pusat sehenti agropelancongan bagi menarik kedatangan pelawat ke kawasan itu.
Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir melontarkan cadangan itu ketika mendengar taklimat daripada Urusetia Perladangan Berkelompok Batu 18 dan 19 Sengkang 1 Grisek Tan Chee Kiong mengenai hasil kebun mereka, hari ini.
Berkongsi perkara itu kepada pemberita, Tan berkata perdana menteri mahu pihaknya mencipta keunikan agar pengunjung boleh benar-benar merasai pengalaman sebagai pekebun ketika melawat ladang sayur terbabit.
“Ini termasuk menanam dan menuai sayur selain perlu ada restoran bagi pengunjung menikmati hasil ladang,” katanya yang ditemui selepas lawatan Muhyiddin itu.
Tan berkata pada masa ini ladang itu mengeluarkan 16 jenis sayur-sayuran yang diusahakan oleh 30 pekebun.
“Setiap bulan dianggarkan 2,000 tan sayur pelbagai jenis dapat dituai untuk dipasarkan di kedai runcit dan pemborong di sekitar Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Kuantan, Pahang.
“Kami juga mengeksport hasil tanaman kami ke Singapura dan pendapatan kasar kami ialah kira-kira RM50 juta setahun,” katanya, menambah ladang tersebut turut menggaji 250 pekerja.
Terdahulu, Muhyiddin meluangkan masa kira-kira sejam melihat hasil tanaman sayur- sayuran yang dituai pekebun-pekebun di kawasan terbabit, antaranya kucai, bayam, kangkung, sawi jepun, sawi putih dan kailan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial