AM

Taylor's perkenal Sarjana Muda Teknologi Reka Bentuk Fesyen

08/12/2020 09:03 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis  -- Taylor's University dengan kerjasama Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) melancarkan program Sarjana Muda Teknologi Reka Bentuk Fesyen, pengajian pertama seumpamanya di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata program itu selaras dengan pertumbuhan industri, permintaan pasaran masa kini serta impak teknologi dalam bidang fesyen.

"Malaysia telah muncul sebagai salah satu nama pencetus trend global terutama dalam dunia tekstil.

“Dalam pertunjukan fesyen di Paris hingga New York, pereka negara telah menempa nama apabila pakaian rekaan mereka turut dipakai oleh selebriti, kerabat diraja dan banyak lagi,” katanya pada majlis pelancaran maya ijazah tersebut hari ini bersama majlis tertinggi universiti tersebut.

Katanya, melalui kerjasama dengan KLFW, Taylor’s dapat meningkatkan lagi program tersebut yang bertujuan melahirkan pereka fesyen terbaik dalam industri dengan memberi peluang kepada pelajar menimba ilmu daripada beberapa peserta industri.

"Saya percaya Malaysia mempunyai kreativiti yang dapat ditunjukkan kepada dunia, jadi saya berharap dapat melihat generasi baharu pengusaha fesyen tempatan dan pereka fesyen yang mampu merevolusikan industri fesyen tempatan dan global menggunakan bantuan teknologi," katanya.

Dalam majlis yang sama, Timbalan Naib Canselor Taylor’s University Profesor Dr Pradeep Nair berkata pencapaian Malaysia dalam dunia fesyen telah diakui di peringkat antarabangsa, sama ada melibatkan fesyen sederhana dengan jenama seperti Neelofa atau konsep pakaian tradisional.

"Oleh kerana itu, kami sangat teruja untuk membawa ke Malaysia satu lagi ijazah sarjana muda di Taylor’s yang menggabungkan kreativiti dan teknologi, satu kombinasi yang sangat diperlukan untuk industri tekstil masa kini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan