FOKUS BERNAMA

Insaf Malaysia bantu Semua Golongan Yang Memerlukan

03/12/2020 06:18 PM

Rencana ini sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa yang disambut pada 5 Disember setiap tahun.

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Apabila pandemik COVID-19 melanda negara ini awal tahun 2020, mungkin ramai yang tidak menjangka ia akan turut mencetuskan kegawatan ekonomi yang masih berterusan sehingga kini.

Usaha membendung penularan koronavirus ini ternyata bukan mudah sehinggakan kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu dan berikutnya, PKP Pemulihan, PKP Bersyarat atau PKP Diperketatkan.

Bukan sahaja golongan peniaga termasuk syarikat besar terkemuka, terpaksa mengecilkan operasi, malahan ada yang terpaksa "menggulung tikar", sehingga menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan.

Kebanyakannya yang terkesan teruk adalah golongan B40, membuatkan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu meringankan beban mereka, antaranya Bantuan Prihatin Nasional (BPN) serta pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi Belanjawan 2021 baru-baru ini.

Golongan asnaf, Orang Kelainan Upaya (OKU) serta rumah kebajikan juga tidak terkecuali. Di samping menerima bantuan kebajikan daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) turut bertungkus lumus memastikan keperluan harian dan makan minum kumpulan ini tidak diabaikan sepanjang PKP.  

Namun, sejauh mana golongan sasar ini dapat dibantu berdasarkan data yang didaftarkan dalam sistem kerajaan? Bagaimana pula bagi golongan yang tercicir atau tiada data dalam sistem itu? 

Isu inilah yang mendapat perhatian berat Presiden dan Pengasas Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (Insaf Malaysia), Ishak Abdul Kadir. 

"Ramai golongan asnaf dan miskin bandar sebenarnya tidak tahu adanya bantuan kebajikan untuk mereka, contohnya Baitulmal oleh Jabatan Agama Islam negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

"Di sinilah NGO dan sukarelawan memainkan peranan mengenal pasti mereka yang tercicir menerusi bantuan kemanusiaan, tidak kira latar belakang dari segi politik, kaum dan agama," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 

KENAL PASTI GOLONGAN ASNAF MENERUSI SEKOLAH

pic-2

Berkongsi pengalaman mengenal pasti golongan miskin bandar yang tercicir di sekitar Lembah Klang, Ishak berkata pihaknya menggunakan data yang diberikan oleh pihak sekolah untuk mengedarkan bantuan kepada murid asnaf. 

Selain menyediakan makan tengahari untuk murid berkenaan, barangan makanan seperti beras (10 kg), minyak masak, kicap dan lain-lan lagi turut diagihkan kepada mereka. 

"Ibu bapa murid akan datang ke sekolah untuk membantu anak-anak mereka mengambil agihan itu dan di sinilah kami dapat bertemu dengan mereka dan mengenal pasti masalah mereka. 

"Apabila kami dapat bersua muka dan duduk berbincang, barulah kami dapat mengenal pasti masalah mereka seperti tercicir daripada mendapat bantuan kerajaan, ibu bapa kehilangan pekerjaan dan anak-anak terpaksa berlapar ke sekolah akibat kekurangan duit saku," tambahnya. 

Ishak berkata, pihaknya menggunakan pendekatan 'pintu belakang (backdoor)' iaitu bantuan diberikan terlebih dahulu kepada golongan asnaf menerusi sekolah sehinggalah kepada lawatan ke rumah bagi mengenal pasti masalah mereka. 

"Kebanyakan NGO hanya memberi bantuan makanan ataupun barang keperluan begitu sahaja. Selepas itu tiada lagi susulan berterusan, kami di sini bukan sahaja membantu dari segi luaran sahaja tetapi juga secara berterusan sehingga mereka boleh berdikari dan mendapat bantuan sewajarnya. 

"Menerusi pendekatan itu juga, kami berjaya mengenal pasti 50 hingga 100 keluarga dalam sebulan untuk membantu mereka mendapatkan bantuan menerusi dokumentasi kepada JKM, Baitulmal dan Pusat Zakat," katanya. 

Menurut beliau lagi, sepanjang PKP, pihaknya juga bekerjasama dengan Yayasan Foodbank Malaysia untuk mengagihkan makanan kering dan basah serta 'pek makanan' kepada golongan miskin bandar di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta rumah kebajikan seperti anak yatim dan warga emas. 

"Selalunya Dapur Insaf Malaysia boleh memasak sehingga 500 pek makanan, namun ketika PKP kami mampu memasak sehingga 3,500 pek makanan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

"Selain sukarelawan, kami turut bekerjasama dengan restoran berdekatan dengan pejabat kami di Setiawangsa untuk menyediakan makanan itu ketika PKP.  

"Kami mempunyai sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, terutamanya doktor, paramediks dan pakar nutrisi, mereka turut bertanggungjawab dalam memastikan makanan yang disediakan adalah berkhasiat dan sihat," katanya. 

Insaf Malaysia turut menawarkan perkhidmatan pengangkutan secara percuma menerusi dua buah ambulans kepada mereka yang tidak mampu daripada segi kewangan untuk ke hospital di sekitar Lembah Klang. 

"Perkhidmatan ambulans kami lebih kepada mereka yang tidak mampu daripada segi kewangan dan bukannya kes kecemasan seperti kemalangan.

“Data mengenai orang susah termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) kami dapatkan daripada bahagian sosial hospital sebelum pesakit disasarkan diberikan bantuan.

“Selain lebih mengutamakan operasi sekitar Lembah Klang, kami pernah memberi khidmat menghantar pesakit kanser dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke Gambang, Pahang selain pesakit dari Meru, Klang ke Mersing, Johor tanpa mengenakan sebarang bayaran,” katanya.

 

EMPAT KLUSTER BANTUAN

Gerak kerja sukarelawan terbahagi kepada banyak cara, kaedah, kategori dan salurun, namun amal kebajikan tetap meletakkan seseorang itu di tempat yang baik dan dihormati masyarakat tidak kira sudut mana dipandang. 

Ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2009, nama Insaf Malaysia agak jarang meniti di bibir berbanding badan amal dan kebajikan yang lain.

Ishak berkata, pihaknya menumpukan kepada empat kluster bantuan dalam aktiviti sukarelawan dan kemanusiaan iaitu perubatan, rumah perlindungan, bekalan makanan dan bekalan air bersih. 

Beliau mengasaskan badan sukarelawan itu kira-kira 10 tahun lalu selepas pulang daripada menyertai misi bantuan kemanusiaan ke beberapa negara yang terjejas akibat bencana alam. 

"Saya terkejut kerana tidak ada banyak pertubuhan bantuan teknikal Malaysia. Meskipun, bantuan perubatan kecemasan adalah penting, perlu juga perhatian diberi kepada soal tempat perlindungan, bekalan air bersih, sanitasi serta program makanan untuk komuniti yang ditimpa bencana alam.

"Atas keperluan inilah, lahir Insaf Malaysia. Penubuhannya agak mengambil masa dan akhirnya berjaya didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat pada Jun 2011, " katanya.  

Selain misi bantuan kemanusiaan, Insaf Malaysia turut mahu membina kumpulan sukarelawan berkualiti dari segi pengetahuan serta kemahiran dalam menjayakan sebarang bentuk bantuan turun padang. 

pic-3

“Kami mahu terus berkhidmat, memberi bantuan perubatan, rumah perlindungan, bekalan makanan dan bekalan air bersih kepada golongan asnaf, menghulurkan tangan kepada mangsa bencana serta memperkasa golongan belia untuk menyantuni mereka yang lebih memerlukan tanpa mengira latar belakang,” kata Ishak. 

Beliau berkata, semua organisasi tidak mengira parti politik, syarikat korporat mahukan badan amal agama haruslah membantu golongan memerlukan secara sama rata tanpa mengira latar belakang. 

"Kami sebenarnya amat sedih kerana sepanjang PKP, ada golongan tercicir yang mendakwa mereka tidak mendapat bantuan disebabkan hanya golongan tertentu seperti Bumiputera ataupun agama tertentu sahaja yang mendapat bantuan itu. 

"Dari segi misi kemanusiaan dan menghulurkan bantuan, semua daripada mereka tidak boleh terkecuali, contohnya, badan agama haruslah membantu golongan yang bukan penganut agama mereka juga dan bukan hanya tertumpu kepada penganut sahaja," katanya. 

 

RUMAH DARURAT

pic-4

Insaf Malaysia turut menyediakan dua buah kabin yang dinamakan 'Rumah Darurat' bagi menempatkan sementara mana-mana keluarga yang ditimpa musibah seperti rumah musnah akibat terbakar, banjir ataupun gelandangan sejak September lalu. 

Rumah Darurat yang boleh menempatkan empat orang dalam setiap kabin, berupaya memberi perlindungan sementara kepada keluarga terlibat sementara menunggu bantuan tiba. 

"Contohnya, jika ada ribut taufan atau pun banjir berlaku di sekitar Lembah Klang yang menyebabkan kediaman mereka musnah, kami akan menempatkan mereka sementara di sini, maksimum dua minggu sementara menunggu rumah mereka dibaiki. 

"Sebelum adanya Rumah Darurat, kami biasanya menempatkan mereka di hotel bajet yang menelan belanja kira-kira RM200 satu malam, daripada kos penginapan yang mahal, lebih baik kita membina kabin sementara ini untuk menempatkan mereka," kata Ishak. 

Selain di sekitar Lembah Klang, Insaf Malaysia turut menerima mana-mana golongan yang tidak berkemampuan dari negeri lain untuk ditempatkan buat sementara di Rumah Darurat bagi mendapatkan rawatan di hospital. 

"Baru-baru ini juga kami menerima sebuah keluarga asnaf dari Kluang, Johor dengan kerjasama wakil rakyat Parlimen Kluang untuk datang ke sini mendapatkan rawatan perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya. 

"Jadi, selain memberikan mereka penginapan sementara secara percuma selama tiga hari di Rumah Darurat, kami turut membekalkan tiga kali makan dari dapur Insaf Malaysia di sebelah rumah itu dan menghantar pesakit ke hospital dengan ambulans kami," katanya. 

pic-5

Setiap unit kabin Rumah Darurat itu dilengkapi dengan dua buah katil 'Double Decker', kipas, sofa dan kelengkapan diri serta tandas dan bilik mandi di luar kabin itu. 

"Jika permintaan memberangsangkan, kami akan menambah lagi unit kabin untuk Rumah Darurat tetapi bergantung kepada sumbangan orang ramai ataupun mana-maa syarikat yang ingin menjalankan program Tanggungjawab Sosial Korporat," katanya. 

Selain 400 orang sukarelawan yang aktif sejak 10 tahun lalu, Insaf Malaysia mempunyai empat paramediks (lepasan kedoktoran) bertugas untuk dua ambulans.

Menurut Ishak, mereka yang memerlukan bantuan ambulans Insaf Malaysia ataupun mana-mana individu yang berminat untuk menjadi sukarelawan boleh melayari laman sesawang www.insafmalaysia.org.my untuk maklumat lanjut.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan