AM

JIPS PDRM dalam proses tambah anggota

26/11/2020 11:18 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov -- Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses menambah keanggotaannya bagi memantapkan fungsi jabatan berkenaan.

Pengarah JIPS Datuk Zamri Yahya berkata sebanyak 427 daripada 1,900 jumlah permohonan penambahan anggota bagi jawatan di jabatan itu telah diluluskan setakat ini.

“Sebelum permohonan dibuat, jumlah keanggotaan JIPS adalah sebanyak 2,000 anggota yang bermakna nisbahnya ialah seorang anggota JIPS bagi 67 warga PDRM lain, yang pada pendapat saya tidak mencukupi.

Penambahan 427 telah lulus dan pengisian hampir selesai dan kita akan pergi kepada pengisian peringkat kedua,” katanya kepada Bernama.

Zamri berkata jumlah keanggotaan sedia ada menyebabkan JIPS mewujudkan keutamaan dan melakukan pemeriksaan rawak dalam usaha memperkasa dan mengukuhkan integriti warga PDRM.

Beliau juga berkata JIPS juga dalam perancangan mewujudkan kira-kira 70 jawatan bertaraf detektif bagi memastikan tugas dan tanggungjawab JIPS dapat dijalankan dengan lancar.

Mengulas mengenai antara cabaran utama dihadapi JIPS, beliau mengakui ia adalah bagi menukar stigma masyarakat yang menganggap terdapat sebahagian anggota pasukan keselamatan itu yang gemar menerima sogokan atau rasuah.

“JIPS akan terus berusaha menukar stigma ini namun apa yang lebih penting ia seharusnya bermula dari ‘self check’ (muhasabah diri) dalam diri seseorang pegawai mahupun anggota bagi memastikan mereka dipandang tinggi dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata antara kejayaan JIPS ialah membuka semula kes yang telah ditutup contohnya dalam satu kejadian seorang wanita pekerja pusat hiburan dipukul majikannya kerana tidak mahu melayan kehendak majikannya itu.

“Apabila JIPS membuat pemeriksaan, didapati kes itu telah ditutup oleh pegawai yang menyiasat kes itu. Selepas siasatan lanjut, majikannya itu didakwa manakala pegawai berkenaan dikenakan tindakan tatatertib,” katanya.

Beliau berkata dalam satu lagi kes, seorang anggota didapati memiliki wang berjumlah beberapa juta ringgit di dalam akaunnya dan apabila ditanya anggota itu menyatakan tidak mengetahui sumber wang itu serta bagaimana ia boleh masuk ke dalam akaunnya.

“Siasatan mendapati dia terlibat dengan sindiket jenayah dan akhirnya anggota itu dikenakan tindakan buang kerja,” katanya.

--BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan