AM

Tindakan pantas pihak berkuasa tangani pencemaran, elak henti tugas LRA Sungai Semenyih

26/11/2020 07:18 PM

SHAH ALAM, 26 Nov  -- Tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menangani satu insiden pencemaran sisa kimia di sebuah tasik berhampiran rumah kelab di Bandar Mahkota Cheras yang berpotensi menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih semalam.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata sisa kimia dipercayai bahan pelarut berwarna putih yang berbau seakan pewarna rambut itu dikesan orang awam pada satu lurang Indah Water Konsortium (IWK) di sekitar kawasan tersebut.

“Aduan orang awam kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sekitar 10 malam semalam membolehkan sisa kimia tersebut disedut terus menggunakan dua lori tangki bagi mengeluarkannya dari lurang IWK.

“Loji kumbahan IWK telah kita tutup semalam bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan dan ia selesai pukul 2 pagi tadi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat Pelan Perancangan Penyelesaian Masalah Bekalan Air di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati sisa kimia itu dikesan melimpah dari satu lurang IWK sebelum mengalir ke tasik di rumah kelab tersebut yang mana aliran tasik menghala ke Sungai Beranang berkedudukan satu kilometer dari tasik berkenaan.

Hee berkata tindakan pantas JAS Selangor meletakkan 20 beg karbon aktif berjaya menyekat dan meneutralkan sisa kimia itu daripada terus mengalir ke Sungai Beranang.

“Ini adalah satu kejayaan kami mematahkan cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk melupuskan sisa terjadual dengan cepat.

“Sejak 2018 hingga semalam, sudah tiga kali kawasan tersebut menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab (melakukan pencemaran),” katanya.

Beliau berkata pihaknya mengesyaki dalang yang membuang sisa kimia itu menggunakan lori bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Sekiranya tiada tindakan pantas oleh agensi berkaitan semalam, pastinya kita terpaksa menghentikan operasi LRA kerana air yang tercemar itu dijangka boleh masuk ke loji dalam tempoh 10 jam," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan