Sabtu, 28 November 2020
22/11/2020 07:49 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov -- Malaysia hari ini mencatatkan 1,096 kes baharu COVID-19, dengan Selangor terus mencatatkan kes tertinggi iaitu 603 kes (55.0 peratus) dan diikuti Sabah dengan 311 kes (28.4 peratus).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka kes baharu hari ini menjadikan jumlah kes positif dalam negara sebanyak 54,775 kes.

Bagaimanapun, jumlah kes pulih melebihi kes baharu dengan 1,104 kes direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 41,597 kes. 

Menurut beliau dalam satu kenyataan hari ini, catatan kes baharu itu menjadikan bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 12,843 kes. 

Beliau berkata daripada 1,096 kes baharu hari ini, sebanyak 1,090 kes melibatkan penularan tempatan manakala bakinya adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. 

"Angka COVID-19 yang tinggi di Selangor berpunca daripada pertambahan kes bagi kluster-kluster terutamanya kluster berkaitan tempat kerja iaitu Kluster Teratai dengan pertambahan 502 kes (83.3 peratus).

"Sabah pula mencatatkan jumlah kes yang tinggi pada hari ini disebabkan oleh peningkatan pengesanan kes dalam kalangan saringan kontak rapat iaitu 139 kes (44.7 peratus),” kata Dr Noor Hisham. 

Kenyataan itu memaklumkan 72 kes (6.6 peratus) dilaporkan pada hari ini adalah berkaitan kluster di Pusat Tahanan Sementara dan penjara membabitkan Kluster Tembok (42 kes), Kluster Bakti (16 kes), Kluster Rumah Merah (empat kes), Kluster Penjara Sandakan (empat kes), Kluster Penjara Seberang Perai (dua kes) Kluster Penjara Reman (dua kes), Kluster Penjara Kepayan (satu kes), dan Kluster Matambai (satu kes).

Dr Noor Hisham berkata terdapat 106 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 46 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut berkata terdapat tiga kematian berkaitan COVID-19 melibatkan dua lelaki dan seorang wanita di Sabah, menjadikan jumlah kumulatif kematian dalam negara 335 kes atau 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. 

-- LAGI

 

COVID-NOOR HISHAM (KES) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR 

 

Kes kematian itu melibatkan dua lelaki tempatan berumur 68 tahun yang meninggal dunia di Hospital Tawau dan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan strok, manakala seorang lagi lelaki tempatan berumur 90 tahun di Hospital Queen Elizabeth serta mempunyai sejarah penyakit strok, dislipidemia dan penyakit aritmia jantung. 

Kes kematian wanita itu pula merupakan warga emas berumur 80 tahun dan bukan warganegara yang mendapat rawatan di Hospital Duchess of Kent dan mempunyai sejarah penyakit strok. 

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat tiga kluster baharu dikenal pasti iaitu Kluster Pengkalan Barat, Kluster Bakti dan Kluster Bayam Indah.

Satu kes direkodkan daripada Kluster Pengkalan Barat, Perak, manakala 16 kes daripada Kluster Bakti, Negeri Sembilan dan lima kes daripada Kluster Bayam Indah, Kedah, katanya. 

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan