Sabtu, 28 November 2020
AM
22/11/2020 12:33 PM

BUKIT MERTAJAM, 22 Nov -- Diberhentikan kerja ekoran pandemik COVID-19, seorang bekas kakitangan syarikat telekomunikasi tidak mengeluh sebaliknya berikhtiar meneruskan kehidupan dan memanfaatkan kreativitinya mengenakan kostum ‘Iron Man’ untuk berniaga air jagung.

Muhammad Syukur Mohd Patthi, 26 berkata dia diberhentikan kerja pada Ogos lepas dan berniaga air jagung sejak dua minggu lalu setelah sukar mendapat pekerjaan lain.

“Sebagai anak muda kita jangan terlalu berharap pada bantuan dan pemberian orang. Selagi ada kudrat, lebih baik cari rezeki sendiri,” katanya kepada Bernama.

Dia bersama dua rakannya, Yusri Md Saad, 35 dan Mohamad Zaidi Zainal Abidin, 33, berniaga air jagung di persimpangan jalan berhampiran Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini.

Katanya semasa bekerja di syarikat telekomunikasi itu, dia turut melakukan pekerjaan sambilan sebagai penghibur berkostum adiwira dan watak kartun dalam sebuah kumpulan bergelar Geng Superhero Penang (GSP), dan mereka sering menerima tempahan untuk menghiburkan kanak-kanak pada majlis hari jadi dan sebagainya. 

"Namun sejak pandemik COVID-19 melanda negara, semua tempahan tersebut telah dibatalkan. Jadi kami rasa dengan memakai kostum ketika menjual air jagung merupakan cara yang unik untuk menarik pelanggan.

"Walaupun kini kami terpaksa berhujan dan berpanas di tepi jalan, setiap kali orang ramai melambai atau bunyikan hon, rasa letih itu berbaloi. Kami faham sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ramai yang rindu suasana di luar... Jika dengan melihat kami ini mereka boleh terhibur, saya turut gembira,” katanya.

Menurut Muhammad Syukur, pada  awal perniagaan itu, mereka mengalami kerugian hingga 90 peratus namun kini semakin stabil.

“Stok yang tidak habis dijual kami beri kepada petugas barisan hadapan di sekatan jalan raya di sekitar Pulau Pinang,” katanya.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan