Sabtu, 28 November 2020
AM
20/11/2020 07:53 PM

PUTRAJAYA, 20 Nov -- Kes positif COVID-19 di Malaysia hari ini mencatatkan 958 kes baharu, dengan tiga kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif mencecah 52,638 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 13,221 kes.

“Tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi pada hari ini adalah Sabah iaitu sebanyak 512 kes, diikuti Selangor dan Negeri Sembilan yang masing-masing melaporkan 153 kes.

“Pelaporan kes positif COVID-19 yang tinggi di Sabah berpunca daripada pertambahan kes bagi kluster-kluster terutamanya Kluster Sabaru (149 kes) dan peningkatan pengesanan kes dalam kalangan saringan kontak rapat (196 kes),” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini. 

Beliau berkata Selangor dan Negeri Sembilan mencatatkan jumlah kes yang tinggi hari ini disebabkan  pertambahan kes dalam kluster-kluster sedia ada serta kluster baharu.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 31 kes adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok (24 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (tiga kes), Kluster Rumah Merah (dua  kes), Kluster Penjara Sandakan (satu kes) dan Kluster Penjara Kepayan (satu kes).

Daripada keseluruhan 958 kes baharu, 953 kes melibatkan penularan tempatan dan baki lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dr Noor Hisham berkata terdapat tiga kes kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah terkumpul kematian akibat COVID-19 sebanyak 329 kes.

Pada masa ini terdapat 110 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 42 memerlukan bantuan pernafasan, katanya. 

Sementara itu, beliau berkata lima kluster baharu telah dikenal pasti iaitu Kluster Kasir di Tawau, Sabah; Kluster Sri Jujur melibatkan Daerah Klang, Sepang dan Petaling, Selangor; Kluster OAD di Negeri Sembilan serta Selangor; Kluster Enggor di Perak dan Kluster Makmur di Johor menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 167 kluster.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 47 kluster melaporkan pertambahan kes. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Sabaru (149 kes), Kluster Hentian (107 kes), dan Kluster Perigi (50 kes),” katanya.

Beliau berkata tiga kluster telah diisytiharkan tamat iaitu Kluster Seri Setia, Kluster Bina, dan Kluster Bah Bundle, menjadikan jumlah kluster tamat adalah sebanyak 157 kluster.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan