KUANTAN, 18 Nov -- Jalan lama Bentong-Raub berhampiran Kampung Sungai Chetang, kira-kira 170 kilometer dari sini, ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan ekoran tanah runtuh sepanjang 60 meter yang dipercayai berlaku disebabkan hujan lebat, sejak kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata jalan itu terpaksa ditutup demi keselamatan rakyat kerana terdapat potensi runtuhan tanah lebih besar boleh berlaku, disebabkan aliran air dalam musim tengkujuh sekarang.
"Punca kejadian adalah disebabkan hujan lebat yang berlaku pada malam Isnin, menyebabkan pembetung sedia ada sepanjang 20 meter dengan diameter 1.5 meter tidak dapat menampung aliran sungai yang naik mendadak sehingga menyebabkan limpahan berlaku.
"Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah akan membaiki dan bercadang menaik taraf pembetung tersebut dengan kos dianggarkan bernilai RM1.2 juta yang akan dimohon kepada ibu pejabat JKR pada minggu ini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Norol Azali berkata buat masa ini, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan utama persekutuan Bentong-Raub sebagai laluan alternatif sehingga jalan itu dibuka semula.
Makluman penutupan jalan itu juga dihebahkan di Faceboook JKR Daerah Raub selain pihak konsesi penyenggaraan jalan iaitu Roadcare (M) Sdn Bhd, diarahkan untuk memasang papan makluman penutupan jalan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial