AM

Dewan Rakyat lulus 9 Jawatankuasa Pilihan Khas baharu

11/11/2020 02:19 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul penubuhan sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas yang baharu bagi menggantikan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas sedia ada.

Jawatankuasa Pilihan Khas itu ialah Kebebasan Asasi dan Hak-hak di bawah Perlembagaan; Kewangan dan Ekonomi; Keselamatan; Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri; Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri.

Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur; Pendidikan; Kesihatan, Sains dan Inovasi; serta Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan ketika membentangkan usul itu berkata jawatankuasa berkenaan melibatkan keanggotaan tujuh ahli termasuk pengerusi dengan tempoh pelantikan selama dua tahun atau dua penggal, berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kementerian.

"Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas itu juga berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya untuk mengambil keterangan, fikiran dan pandangan tentang apa-apa yang berkaitan dengan bidang tugas yang dinyatakan dalam terma rujukan jawatankuasa tersebut serta tertakluk kepada peruntukan dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya.  

Takiyuddin berkata laporan atau penyata yang dikeluarkan hasil siasatan oleh sesuatu Jawatankuasa Pilihan Khas perlu dibentangkan di dewan serta boleh dicadang untuk dibahas, diterima dan dipersetujui Dewan Rakyat.

Beliau berkata Seksyen Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat di Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia akan diwujudkan sebagai sekretariat kepada jawatankuasa tersebut untuk membolehkan ia berfungsi dengan lancar dan berkesan.

Selain itu, katanya penubuhan Kumpulan Parlimen Rentas Parti diteruskan dengan mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Usul berkenaan kemudian dibahas 10 Ahli Parlimen pembangkang yang antaranya membangkitkan berhubung ketiadaan beberapa jawatankuasa khas sebelum ini serta komposisi jawatankuasa itu melibatkan lima Ahli Parlimen kerajaan dan dua daripada pembangkang yang didakwa tidak menggambarkan majoriti di Dewan Rakyat.

Menjawab persoalan itu, Takiyuddin berkata Ahli Parlimen boleh mengemukakan cadangan penubuhan semula jawatankuasa khas tertentu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun untuk diperhalusi dan dibincangkan dalam Jawatankuasa Dewan.

Mengenai komposisi ahli jawatankuasa, beliau berkata ia merupakan amalan biasa termasuk ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Dalam kerajaan PH dulu pun sama, contohnya PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) daripada 12 ahli, lapan kepada kerajaan, empat sahaja kepada pembangkang," katanya.

Mengulas cadangan Hannah Yeoh (PH-Segambut) supaya Ahli Parlimen yang mempunyai jawatan di syarikat berkaitan kerajaan tidak berada dalam jawatankuasa tersebut bagi mengelak konflik kepentingan, Takiyuddin berkata perkara itu tidak terkandung dalam undang-undang.  

Jawatankuasa Pilihan Khas sebelum ini melibatkan Menimbang Rang Undang-Undang; Bajet; Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri; Kesaksamaan Gender Dan Pembangunan Keluarga; Hubungan Antara Negeri-Negeri dan Persekutuan; Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam; Pilihan Raya; Hak Asasi Manusia Dan Hal Ehwal Perlembagaan; Hubungan Dan Perdagangan Antarabangsa dan Sains, Inovasi Dan Alam Sekitar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan