AM

NAHAS HELIKOPTER: ALLAHYARHAM MOHAMED SABRI SELAMAT DISEMADIKAN

09/11/2020 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 9 Nov -- Jenazah Komander (B) Mohamed Sabri Baharom, 56, mangsa nahas helikopter terhempas semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves pada pukul 2.20 petang tadi.

Jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan berkenaan kira-kira 2.05 petang, setelah disolatkan di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan, pada 1 petang tadi.

Selain anggota keluarga dan rakan-rakan, upacara pengebumian Allahyarham turut dihadiri Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, serta beberapa pegawai dan anggota TLDM.

Adik bongsu kepada Allahyarham Mohd Faris Baharom, 40, berkata arwah abangnya ialah seorang peminat dunia penerbangan dan sering membawanya (Mohd Faris) kalau melakukan penerbangan.

“Dia memang minat dengan bidang aviation (penerbangan) ini.

“Dia menjaga mak sejak ayah meniggal, saya pun selalu datang ke rumah menziarahi mereka dan saya pun anggap dia macam ayah saya,” katanya kepada pemberita selepas selesai majlis pengebumian, di sini hari ini.

Mohamed Sabri merupakan anak kedua dari enam adik beradik, setelah kematian bapanya Baharom Ismail, 63, pada tahun 2006 akibat sakit tua, beliau menerusi kehidupan bujangnya demi menjaga ibunya, Intan Omar, 76 sejak dari itu.

Dalam pada itu, rakan baik Allahyarham Zulaziz Buang, 57, menyifatkan Mohamed Sabri sebagai seorang yang amat taat kepada ibu dan bapa.

“Sejak kenali Sabri dari umur saya enam tahun, dia ni ialah seorang yang sangat loyal (setia), terutamanya kepada ibu dan bapa beliau,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Mohamed Sabri dan Mohd Irfan Fikri Mohd Rawi maut, selepas dua helikopter dipercayai berlanggar di udara, sebelum sebuah daripadanya terhempas  kira-kira 12 tengah hari di Taman Melawati, Ampang dekat sini.

Sementara itu, Mohd Reza ketika ditemui pemberita setelah selesai majlis pengebumian Mohamed Sabri berkata, arwah telah meninggalkan satu legasi di TLDM dengan menetapkan standard penerbangan yang sangat tinggi.

“...dan standard itu masih diikuti oleh mereka yang masih berkhidmat dalam TLDM,” kata Panglima TLDM itu.

“Beliau merupakan sahabat saya sewaktu berkhidmat di TLDM, walaupun arwah bersara 10 tahun yang lepas, beliau selalu mengambil berat dalam hal TLDM, khususnya dalam cawangan udara. 

Allahyarham Mohamed Sabri sangat meminati bidang penerbangan dan bergiat aktif dalam cawangan udara TLDM, sewaktu perkhidmatanya. 

Arwah adalah antara warga tentera laut yang paling awal menceburi bidang penerbangan dan seluruh warga TLDM akan mengingati jasa dan merindui beliau.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan