AM

Saksi sangka helikopter sedang buat tinjauan udara

08/11/2020 04:53 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov -- “Saya ingatkan kedua-dua helikopter berkenaan sedang melakukan tinjauan udara dengan terbang bersama, sebelum salah sebuah daripadanya melanggar ekor helikopter yang lain,” cerita seorang saksi yang melihat kemalangan dua helikopter di Taman Melawati pagi tadi.

Saksi berkenaan Puteri Nur Ilani Ismail, 25, berkata, ketika itu dia sedang mencari daun herba untuk kegunaan memasak, 500 meter daripada tempat salah sebuah helikopter berkenaan terhempas.

“Saya berada berdekatan Bulatan Bukit Mas di sini kira-kira 11.30 pagi dan terdengar bunyi helikopter sedang terbang.

“Tiba-tiba saya terlihat helikopter berwarna merah melanggar bahagian ekor helikopter berwarna biru, yang menyebabkan ia (ekor helikopter biru) patah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui berhampiran kawasan kejadian.

Katanya, helikopter biru itu kelihatan seakan-akan tidak mampu terbang secara sempurna selepas insiden tersebut, sebelum jatuh terhempas.

“Helikopter merah bagaimanapun dilihat turun secara perlahan-lahan di sebuah kawasan berdekatan,” katanya yang tinggal di kawasan berhampiran. 

Seorang lagi saksi, Muhammad Taufik Rosli, 24, yang menetap di Jalan M4, Taman Melawati mengakui mendengar bunyi dentuman kuat kira-kira pukul 11.40 pagi.

Bercerita lanjut, Muhammad Taufik pada awalnya beranggapan dentuman kuat itu datang daripada kemalangan kereta yang berlaku di jalan utama Taman Melawati, namun terkejut apabila mendapati ia berpunca daripada sebuah helikopter yang jatuh terhempas.

“Laluan ini sememangnya adalah  kawasan kemalangan kerana ia adalah jalan lurus. Jadi, saya ingat ada kemalangan kereta yang berlaku.

“Tetapi, apabila saya keluar dari rumah, saya lihat ada sebuah helikopter berwarna biru terhempas,” katanya.

Menurutnya, kawasan Taman Melawati sering kali menjadi tumpuan helikopter yang melakukan tinjauan udara terutama ketika terdapatnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki yang hilang atau jatuh di Bukit Tabur.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari tadi, dua lelaki disahkan maut dalam nahas melibatkan dua buah helikopter yang dipercayai bertembung di udara, sebelum sebuah daripadanya terhempas di Taman Melawati, Ampang dekat sini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan