FOKUS BERNAMA

Dari Wartawan Beralih Usahawan Kek

05/11/2020 10:50 PM

Oleh Siti Fauziah Hasan

SEREMBAN (Bernama) -- Apa sahaja jenis perniagaan pada masa kini mula menjadi pilihan bagi kebanyakan orang, apatah lagi bagi mereka yang kehilangan pekerjaan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 18 Mac lepas.

Baik sebagai ejen ‘dropship’, perniagaan dalam talian, peniaga dalam talian, perniagaan kecil dan sederhana, yang pasti ia bertujuan sama ada untuk menambah pendapatan atau sebagai pendapatan gantian, selepas kehilangan pekerjaan.

Namun, berbeza dengan Rozlinda Yahya, 42, pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tekad meninggalkan dunia kewartawanan berikutan minat yang mendalam dalam bidang pastri.

 

MULA BERKECIMPUNG


Rozlinda Yahya (dari kiri), Yusnida dan Ismaliza merupakan tiga beradik yang bergabung tenaga dalam bisnes kek di Senawang. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Rozlinda, bekas wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), memulakan langkah  berkecimpung dalam bidang keusahawanan khususnya kek dan bakeri sejak 2018.

“Saya mula secara kecil-kecilan di rumah dan dalam talian sejak tiga tahun lepas. Alhamdulillah kini saya bangga kerana berjaya membuka sebuah kedai kek berkonsepkan butik bersama dua adik-beradik saya di Senawang pada awal Oktober lepas.

“Kami memang minat membuat kek sejak dari kecil. Selepas saya terpaksa meletakkan jawatan sebagai wartawan kerana mengikut suami yang bertugas di luar negara selama empat tahun, saya kemudian kembali ke tanah air, dan meneruskan minat saya dalam bidang ini dan dari situ saya mula berniaga,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Mengakui tidak pernah melupakan dunia penulisan yang sememangnya sudah sebati dalam dirinya, Rozlinda berkata, beliau turut mengintai peluang sekiranya masih terdapat ruang untuknya berkarya pada masa akan datang di samping menguruskan kedai keknya itu.

 

CABARAN


Yusnida Yahya

Mengenai cabaran yang ditempuhinya sebagai usahawan,  Rozlinda mengakui ia sangat berbeza berbanding ketika beliau bergelar wartawan.

“Dulu masa jadi wartawan, cabarannya adalah tugas tak tentu masa, tetapi bila dah ada bisnes sendiri, kita akan fikirkan bagaimana hendak membuat keuntungan selain terpaksa berurusan dengan karenah pelanggan yang berbeza setiap hari.

“Jadi ia lagi mencabar namun dalam masa yang sama memberi kepuasan pada diri saya selain pengalaman yang ada dapat membantu saya dari segi promosi,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Rozlinda berkata, berkat kesungguhan bersama kakaknya Yusnida Yahya, 46, dan adiknya, Ismaliza Yahya, 34, impian mereka untuk mengembangkan perniagaan sedia ada berjaya direalisasikan.

Malahan penerimaan pelanggan terhadap produknya adalah antara cabaran yang tidak dapat dinafikan anak kelahiran Selangor itu.

“Saya tidak menjangka sama sekali perniagaan yang diusahakan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat. Namun idea membuka kedai kek berkonsepkan butik itu kerana mahukan kelainan selain ingin memberikan keselesaan kepada pelanggan,” katanya.

Berbeza dengan kakaknya Yusnida, yang terlebih dahulu menceburi bidang pastri berkenaan mengakui agak gementar untuk menerima tempahan kek dalam kuantiti yang banyak.

“Pada waktu itu, saya tidak mempunyai keyakinan untuk menerima tempahan dalam kuantiti yang besar selain kekangan kerja sedia ada. Bagaimanapun, setelah melihat potensinya untuk berkembang maju, saya nekad berhenti kerja dan mulakan bisnes kek ini secara sepenuh masa,” katanya.

Yusnida, yang turut mendapat bantuan daripada Yayasan Mahir Malaysia (sebuah yayasan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) berkata, antara perkara mencabar sepanjang mereka mengusahakan perniagaan itu adalah bagi mendapatkan bahan sewaktu PKP susulan COVID-19 memandangkan kebanyakan kandungan kek mereka menggunakan bahan import.

“Sewaktu PKP, semua shipping (penghantaran) sangkut… jadi nak dapatkan bahan agak sukar malah untuk dapatkan bahan dari Kuala Lumpur dan Selangor juga susah... agak bermasalah ketika itu tapi masih boleh teruskan.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana permintaan kek masih paling tinggi ketika itu. Manakala pendapatan kedai kek kami meningkat sekali ganda sebaik sahaja ia beroperasi,“ katanya.

 

UNIK DENGAN KEPELBAGAIAN PERISA


Terdapat lebih 20 jenis kek ditawarkan termasuk kek red velvet, kek lobak, Basque Burnt Cheese Cake dan brownies. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dalam pada itu, Ismaliza pula berkata, meskipun terdapat persaingan dalam kalangan usahawan kek di pasaran, namun mereka percaya kek yang dihasilkan mempunyai keunikan tersendiri memandangkan setiap penghasilannya mengguna bahan premium berkualiti tinggi.

Antara kelainan yang ditawarkan kedai kek mereka ialah pakej berupa kek mini bersaiz lima inci dalam satu kotak atau dikenali sebagai ‘Box of Suprise’ berharga serendah RM25, yang memberi pilihan kepada pelanggan untuk menikmati kepelbagaian perisa kek pada harga mampu beli.

Setakat ini, terdapat lebih 20 jenis kek ditawarkan termasuk kek red velvet, kek lobak, Basque Burnt Cheese Cake dan brownies.

“Kami sentiasa melakukan pembaharuan dan pelbagaikan jenis kek di samping inovasi bagi memenuhi kepuasan pelanggan,” katanya.

Mengenai perancangan masa hadapan, Ismaliza berkata, mereka bakal membuka cawangan di Kuala Lumpur selain bercita-cita membuka kedai yang berkonsepkan dine-in pada tahun hadapan.

 

Disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani

BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan