AM

Merchang Lestari, produk pelancongan baharu di Marang

29/10/2020 12:05 PM

MARANG, 29 Okt  -- Menyaksikan demonstrasi pengambilan air nira, mengail ikan sungai, menangkap ketam menggunakan 'bito' serta mencari lokan di kawasan pokok nipah, adalah antara aktiviti menarik dalam pakej pelancongan Merchang Lestari.

Produk pelancongan berasaskan komuniti yang akan ditawarkan bermula Mac 2021 itu bertujuan menonjolkan keistimewaan daerah Marang, Terengganu kepada pelancong.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Sulaiman Sulong berkata semua aktiviti itu adalah rutin harian penduduk kampung di sekitar kawasan Merchang yang akan dipromosikan sebagai aktiviti pelancongan negeri yang baharu.

"Merchang Lestari adalah produk pelancongan seperti di Tanah Bencah Setiu, cuma bezanya saiz kawasannya lebih kecil...keunikan untuk pelancong di sini ialah mereka dapat melihat keakraban kehidupan komuniti setempat dengan alam semula jadi.

"Air nira, ketam nipah, lokan, ikan sungai dan pembuatan makanan tradisional ini adalah sumber pendapatan utama sebahagian penduduk di Merchang yang akan dikongsi kepada pelancong untuk merasai pengalaman sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau ke lokasi yang menjadi tumpuan pencarian lokan dan ketam di kawasan itu yang turut disertai Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Razak di sini. 

Kedatangan pelancong di Daerah Marang kini, lebih tertumpu ke Pulau Kapas dan Dataran Batu Putih. 

Sementara itu, Tun Ahmad Faisal berkata Merchang Lestari adalah satu produk pelancongan yang masih 'tersembunyi' namun, mempunyai nilai komersial untuk diketengahkan sebagai pelancongan berasaskan alam semula jadi sekali gus memberi manfaat kepada penduduk kampung.

"Tinjauan awal kita ini adalah untuk mendapatkan maklum balas penduduk, persiapan mereka serta kemudahan infrastruktur yang perlu ditambah baik demi keselesaan pelancong," katanya yang optimis Merchang Lestari mampu menjana pertumbuhan ekonomi di kawasan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan