AM

COVID-19: RM2.7 juta diperlukan bantu 815 usahawan Perak yang terkesan

28/10/2020 08:53 PM

IPOH, 28 Okt -- Peruntukan tambahan sebanyak RM2.7 juta diperlukan bagi membantu 815 usahawan mikro di Perak yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19, di bawah Geran Prihatin Usahawan Perak (GeRUP).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, dana yang disalurkan melalui GeRUP sebelum ini adalah sebanyak RM1 juta, namun jumlah tersebut hanya mampu menampung bantuan kepada 300 usahawan.

Beliau berkata sejak permohonan GeRUP dibuka pada Julai lalu, 1,115 daripada 4,563 permohonan layak mendapatkan bantuan RM3,000 yang diberikan secara 'one off' dan peruntukan RM1 juta tidak mencukupi untuk biayai keseluruhan permohonan yang layak.

“Bagi fasa pertama, kita telah meluluskan peruntukan kepada 300 usahawan yang melibatkan RM900,000, namun baki 815 lagi permohonan, kita telah putuskan memohon ehsan kerajaan negeri untuk meluluskan tambahan dana iaitu melibatkan peruntukan RM2.7 juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata peruntukan tambahan yang diperlukan itu akan dibawa ke  peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat untuk pertimbangkan dan jika diluluskan 815 lagi usahawan dijangka dapat menerima bantuan itu seawalnya 31 Dis depan.

“Buat masa ini, kita sedang draf secara terperinci tentang peruntukan tambahan ini untuk memastikan ia akan dapat difahami dan pada masa yang sama (dana) diluluskan,” katanya. 

Pada Julai lalu, kerajaan Perak memperkenalkan GeRUP bagi membantu usahawan mikro yang tidak mendapat Geran Khas Prihatin (GKP) yang diperkenalkan kerajaan Persekutuan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan