FOKUS BERNAMA

Pesakit Lelah Perlu Kawal Simptom Sebelum Parah

30/10/2020 04:40 PM

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Menghidap penyakit asma atau lelah sejak kecil, Abdul Hadi Zulkifli yang berkhidmat sebagai guru sementara berasa amat cemas sejak pandemik COVID-19 merebak ke Malaysia.

Tambahan pula, ada laporan yang menambahkan lagi kebimbangan beliau iaitu individu yang menghidap asma berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi untuk menjadi teruk jika dijangkiti COVID-19.

Meskipun penghidap asma berasa seakan ‘lemas’ bila mengenakan pelitup muka tetapi bagi Abdul Hadi, 28, beliau terpaksa memakainya setiap kali beliau perlu keluar dari rumah.

“Bayangkan, bagi mereka yang menghidap asma seperti saya, berasa loya dan sukar bernafas kadang kala. Pakai pelitup muka menjadikan saya begitu gelisah. Tambahan pula jikalau saya rasa dada ketat, saya perlu mengambil alat sedut / ubat sedut (inhaler) pelega ( Short- Acting Beta2- Agonist atau SABA) saya segera untuk melegakan simptom lelah sekurang-kurangnya sehari sekali. Tetapi ini tidak berlaku dengan kerap “ katanya. 

Asma adalah penyakit radang jangka panjang atau kronik pada saluran pernafasan. Keradangan ini menyebabkan pesakit asma berasa kesukaran bernafas akibat saluran pernafasan menjadi bengkak dan sempit. 

Menurut Global Asthma Report 2018, asma memberi kesan kepada 339 juta orang di seluruh dunia. Menjelang 2025, jumlah ini dijangka meningkat kepada 400 juta. Di Malaysia, terdapat sekitar 2 juta orang pesakit asma.

 

RISIKO LEBIH TINGGI

pic-3

COVID-19 memberi kesan kepada sistem pernafasan dan berkemungkinan menjadi punca penghidap asma mendapat pneumonia (jangkitan kuman di paru-paru) serta penyakit pernafasan akut.

Global Initiative for Asthma (GINA), sebuah pertubuhan yang meningkatkan kesedaran mengenai asma di kalangan profesional kesihatan awam dan pegawai kesihatan awam di sekitar dunia bagi mengurangkan berlakunya serangan asma serta kematian akibatnya.

Menurut laporan GINA, penggunaan ‘nebuliser’ perlu dielakkan ketika penghidap asma mendapat serangan akut kerana ia akan meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 kepada pesakit lain atau kepada doktor, jururawat dan pegawai kesihatan lain.

Nebuliser adalah alat untuk menukar ubat dalam bentuk cairan ke wap untuk dihirup oleh penghidap asma supaya ubat dapat masuk ke dalam sistem pernafasan.

Centers for Disease Control and Prevention (CDC) yang berpangkalan di Amerika Syarikat, juga menyatakan bahawa kehadiran COVID-19 menambahkan kebimbangan kepada penghidap asma kerana pesakit asma yang mempunyai kawalan asma yang kurang terkawal mempunyai risiko komplikasi yang lebih tinggi daripada jangkitan virus tersebut.

 

BOLEH BERBAHAYA

Sementara itu, laporan GINA Report 2020, juga mengemas kini garis panduan terkini dengan  tidak lagi mengesyorkan alat sedut/ ubat sedut (inhaler ) SABA yang mengurangkan simptom asma sahaja dalam pengurusan asma. GINA turut menegaskan peningkatan risiko serangan asma jika menggunakannya secara berlebih-lebihan, iaitu lebih daripada 3 kali seminggu.

Menurut laporan itu: “Mereka yang menghidap asma perlu meneruskan semua alat sedut / ubat sedut (inhaler) termasuk inhaled corticosteroids (ICS) yang diberikan oleh doktor. Untuk serangan asma akut, pesakit perlu berjumpa dengan doktor segara bagi mencegah keadaan mereka bertambah teruk.

pic-4

Doktor perunding pernafasan yang juga pengasas bersama Asthma Malaysia, Dr Helmy Haja Mydin juga menyokong laporan GINA itu, berkata penggunaan atau pergantungan secara berlebih-lebihan kepada alat sedut / ubat sedut (inhaler) SABA boleh membuatkan pesakit beranggapan penyakitnya tidak teruk yang boleh meningkatkan kadar kematian.

"Pesakit yang memerlukan alat sedut / ubat sedut (inhaler)mereka lebih daripada dua kali seminggu tidak mempunyai kawalan asma yang baik dan ini boleh meningkatkan risiko serangan asma yang teruk.

pic-6

“Perlu difahami sekiranya pesakit menggunakan alat sedut / ubat sedut (inhaler), keadaan penyakit asmanya akan berpanjangan dengan peningkatan risiko komplikasi, “ kata beliau ketika ditemui baru-baru ini pada pelancaran Kempen Kawal Lelah Sebelum Parah di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Kempen itu adalah anjuran bersama Asthma Malaysia dan syarikat biofarmaseutikal, AstraZeneca Malaysia dan ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pengurusan asma yang betul.

Garis panduan pengurusan asma yang baharu mengesyorkan kombinasi ICS dan ubat pelega. Ini adalah kerana ICS bertindak sebagai ubat pengawal yang mengurangkan keradangan saluran pernafasan, terutamanya bagi mereka mempunyai asma yang tidak terkawal.

Menurut Dr Helmy,  meskipun asma tidak dapat disembuhkan, ia boleh dikawal, antaranya dengan pengurusan simptom yang baik dan penggunaan alat sedut/ ubat sedut (inhaler) pelega yang  tidak lebih daripada 3 kali seminggu.

“Bagaimanapun, hanya enam peratus pesakit asma mencapai kawalan asma yang baik kerana gagal menggunakan inhaler dengan cara yang betul dan tidak mematuhi nasihat rawatan, “ katanya.


DIDIK ORANG RAMAI

Mengenai Kempen Kawal Lelah Sebelum Parah, Dr Helmy berkata Asthma Malaysia berganding bahu dengan pelbagai pertubuhan profesional serta entiti swasta untuk mendidik orang ramai serta profesional penjagaan kesihatan, mengenai kepentingan memutuskan rantaian kebergantungan berlebihan terhadap alat sedut / ubat sedut (inhaler)SABA.

Kempen tersebut dilancarkan oleh Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Jemilah Mahmood.

pic-5

Presiden AstraZeneca (Malaysia), Dr Sanjeev Panchal, yang turut hadir pada pelancaran kempen tersebut berkata, “ Kami ambil maklum bahawa jurang dalam penjagaan pengurusan asma secara keseluruhan, dan oleh itu adalah penting untuk kami bekerjasama dengan pertubuhan yang betul untuk mewujudkan ekosistem holistik yang dapat memberi manfaat serta sokongan kepada pesakit.”

Menurut beliau, usaha kerjasama itu adalah amat bermakna kerana ia membolehkan mereka mewujudkan ekosistem yang berpusatkan pesakit bagi menangani jurang dalam rawatan pesakit asma.

“Kami juga ingin memperkasa serta membantu mereka memainkan peranan aktif dalam menguruskan kesihatan mereka, “ katanya.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan