KUALA LUMPUR, 26 Okt -- AmBank menjalinkan perkongsian strategik dengan Visa untuk menambah baik saranan nilai kad kredit dan tawaran kepada pasaran, dengan bank itu menerajuinya berbanding bank-bank tempatan dalam industri ini.
Pengarah Urusan AmBank, Perbankan Runcit, Aaron Loo berkata inisiatif pertama untuk melengkapkan perkongsian dengan Visa adalah pelancaran kad kredit rebat tunai baharu.
“Kad kredit rebat tunai AmBank diperkenalkan untuk memenuhi keperluan normal baharu pelanggan, dengan saranan nilai unik yang memberi rebat tunai ke atas barangan keperluan harian, farmasi dan perbelanjaan secara dalam talian, bertujuan menyelesaikan tingkah laku perbelanjaan pengguna pada masa ini ke atas barangan keperluan.
“Pelanggan akan menikmati rebat tunai sehingga lapan peratus bagi kategori tersebut dengan penggunaan kad kredit ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pelanggan boleh menikmati rebat tunai bagi barangan keperluan apabila membeli di beberapa pasar raya utama seperti Jaya Grocer, Giant dan Tesco, serta farmasi.
Selain rebat tunai ke atas perbelanjaan, kad baharu itu turut menawarkan 10 peratus rebat faedah kad kredit,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Negara Visa bagi Malaysia, Ng Kong Boon berkata pandemik COVID-19 telah mempercepatkan penerimagunaan dagangan digital dengan pihaknya menjangkakan satu daripada lima pemegang kad Visa aktif, yang tidak membuat pembelian dalam talian tahun lepas akhirnya membuat transaksi beli-belah dalam talian pertama pada separuh pertama tahun ini.
“Kami amat gembira menjalinkan perkongsian dengan AmBank untuk memperkenalkan produk kad kredit baharu ini yang memberi ganjaran pulangan tunai kepada pemegang kad Visa bagi barangan keperluan dan pembelian dalam talian,” katanya.
Pemegang kad Ambank juga akan menikmati RM30 pulangan tunai, potongan RM30 atau 30 peratus diskaun dari banyak kedai yang popular daripada kempen promosi “Amazing 30” Ambank yang dilancarkan baru-baru ini.
Layari ambank.com.my/agr untuk memohon Kad Kredit Rebat Tunai Ambank.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial