SUKAN

Dixon lanjut kontrak dengan pasukan Petronas Sprinta Racing

22/10/2020 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt -- Penunggang British Jake Dixon akan kekal bersama dengan pasukan Petronas Sprinta Racing, bagi meningkatkan saingan hebat pasukan itu dalam kategori Moto2 Kejohanan Dunia Motorcycle Grand Prix (MotoGP) 2021.

Pengarah pasukan Johan Stigefelt dalam satu kenyataan hari ini berkata pasukan itu gembira untuk mengekalkan khidmat penunggang berumur 24 tahun berkenaan yang menampilkan kemajuan yang baik dari semasa ke semasa sejak menyertai pasukan berkenaan awal musim ini.

Dixon akan menyertai penunggang Sepanyol Xavi Vierge yang menetapkan untuk bersama dengan pasukan berpengkalan di Malaysia itu bagi satu lagi musim, baru-baru ini.

"Kemajuan Jake sejak perlumbaan pertama tahun ini sehingga sekarang amat memberangsangkan, malah melewati jangkaan,” kata Stigefelt.

Sementara itu Dixon juga gembira untuk terus bersama dengan pasukan itu, dan bertekad untuk memberikan yang terbaik dalam empat perlumbaan terakhir MotoGP musim ini. 

Empat perlumbaan itu terdiri daripada Teruel GP di litar Aragon Circuit, Sepanyol pada 23-25 Okt, European GP (6-8 Nov) dan Valencia GP (13-15 Nov) di litar Ricardo Tormo Circuit, Sepanyol serta Portugal GP di litar Algarve International Circuit (20-22 Nov).

“Kami mencapai banyak kejayaan selama ini, dan saya rasa saya dapat memberikan persembahan mantap untuk memberikan persembahan terbaik. Saya amat gembira, dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dalam pasukan Petronas Sprinta Racing, dan semua yang menaruh keyakinan terhadap saya,” kata Dixon.

Baru-baru ini penunggang kelahiran Dover itu mencapai keputusan terbaik musim ini selepas menamatkan perlumbaan pada Aragon GP di Litar Aragon di tempat keempat, dan beliau juga menduduki tempat kelapan dalam perlumbaan Styrian GP di litar Red Bull Ring di Austria, Ogos lepas.

Vierge ketika ini berada di tempat ke-12 dalam kedudukan di Kejohanan Dunia Moto2 dengan 59 mata, manakala Dixon di tempat ke-17 dengan mengumpulkan 35 mata selepas 11 perlumbaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan