AM

China dan ASEAN miliki keupayaan, tanggungjawab penuh kekalkan keamanan di Laut China Selatan - Wang Yi

13/10/2020 11:09 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt -- Menteri Luar China Wang Yi pada Selasa berkata China dan ASEAN memiliki kemampuan, kebijaksanaan serta tanggungjawab penuh untuk menjaga keamanan dan ketenangan di Laut China Selatan.

Bercakap dalam sidang akhbar bersama selepas pertemuan dua hala dengan Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini hari ini, Wang berkata ASEAN juga harus bekerjasama untuk "mengusir halangan luaran" di Laut China Selatan.

Beliau berkata China dan ASEAN juga harus terus berusaha untuk rumusan awal Kod Tatalaku di Laut China Selatan (CoC).

“Kami berdua berpandangan bahawa Laut China Selatan seharusnya tidak menjadi landasan untuk pertarungan kuasa besar, dipenuhi dengan kapal perang.

"China dan ASEAN harus bekerjasama untuk mengusir halangan luar dan terus melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) dan berusaha untuk rumusan awal CoC yang berkesan dan bermakna," kata Wang, ketika lawatan rasmi dua hari ke Malaysia. 

Sementara itu, Hishammuddin berkata Malaysia dan China, dalam pertemuan dua hala itu, sepakat mengenai pentingnya menjaga keamanan dan kestabilan di rantau ini.

"Perselisihan harus ditangani secara damai, termasuk melalui dialog dan perbincangan wilayah di antara pihak-pihak yang bersangkutan, tanpa mengancam atau menggunakan kekerasan," kata Hishammuddin.

Perselisihan wilayah di Laut China Selatan yang strategik melibatkan empat negara ASEAN, iaitu Brunei, Malaysia, Filipina, dan Vietnam, serta China dan Taiwan.

Dalam satu kenyataan media bersama dikeluarkan kemudian, Hishammuddin dan Wang menekankan perlunya negara-negara berkenaan terlibat secara langsung menyelesaikan perselisihan secara damai melalui rundingan sesuai dengan prinsip-prinsip yang diiktiraf undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

Pemimpin kedua-dua negara itu juga menggariskan pentingnya memelihara keamanan dan kestabilan, serta kebebasan pelayaran dan lintas udara di Laut China Selatan.

"Kedua-dua pemimpin menekankan perlunya semua pihak mengelak menjalankan aktiviti yang boleh mencetuskan atau meningkatkan pertikaian di Laut China Selatan. Kedua-dua pihak bersetuju meningkatkan dialog mengenai hal ehwal maritim dan mempromosikan kerjasama maritim," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi kedua-dua pihak, bersama-sama anggota ASEAN, akan bekerja untuk melaksanakan sepenuhnya Deklarasi DOC dan mendorong kerjasama maritim, serta meningkatkan kemajuan mengenai rumusan awal COC yang berkesan dan substantif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan