AM

Kawasan Projek Pembangunan Rumah Bandar di Kampung Sungai Bangat ditutup

08/10/2020 08:03 PM

LABUAN, 8 Okt -- Pihak berkuasa telah menutup kawasan Projek Pembangunan Perumahan Bandar di Kampung Sungai Bangat di sini, selepas lapan kes positif COVID-19 dikesan hari ini.

"Kami segera menutup tapak pembinaan dan rumah kongsi (di kawasan itu) awal hari ini, meninggalkan 37 pekerja dan ahli keluarga mereka di tempat tinggal mereka di sana," kata Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad.

"Nasihat kami kepada penduduk yang tinggal dekat dengan lokasi pembinaan dan rumah kongsi adalah untuk kekal tenang dan tidak panik kerana kami telah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mencegah penularan virus," katanya kepada Bernama.

Muhamad Farid berkata, operasi sanitasi dilakukan di rumah kongsi terbabit pagi tadi.

Tujuh pekerja dan seorang pelajar yang tinggal di tempat tinggal sementara pekerja pembinaan itu didapati positif dalam saringan COVID-19 pagi ini. Mereka dibawa ke hospital kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Beliau berkata anggota polis akan dikerahkan di sana sepanjang masa untuk mengelakkan pekerja berkenaan meninggalkan kawasan itu.

Muhamad Farid berkata, penduduk Taman Mutiara yang terletak berhampiran dengan tapak pembinaan  itu masih boleh bergerak dengan bebas seperti biasa.

Terdapat sekurang-kurangnya 10 rumah satu tingkat yang terletak hanya beberapa meter dari tapak projek.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Bah Bangat di Labuan adalah antara lima kluster baharu COVID-19 yang dikenal pasti hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan