AM

Banjir: Jalan terputus, sungai arus deras, premis dinaiki air, risaukan penduduk

05/10/2020 12:00 PM

TUARAN, 5 Okt -- Kejadian banjir di beberapa kawasan di negeri ini mengusarkan penduduk, apabila beberapa jalan utama terputus hubungan, sungai dilanda arus deras dan premis perniagaan dinaiki air akibat hujan lebat berterusan, sejak malam tadi.

Penghantar makanan Food Panda Ardy Maxwell, 21, berkata, beliau terkandas di hadapan Institut Tadbiran Awam Negara Kampus Sabah di sini, apabila Jalan Sulaman di hadapan kampus itu dinaiki air banjir. 

“Hanya kenderaan berat atau pacuan empat roda boleh lepas (banjir) motosikal dan kereta tidak boleh lepas, ada juga kereta mencuba tetapi (enjin) mati di tengah jalan dan semua bantu tolak,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya beliau dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Laya-laya di sini, bagi mengambil makanan dipesan pelanggan dan beliau turut mendapat maklumat rakan penghantarnya yang lain turut terkandas, akibat air naik di jalan sekitar Telipok dan Rugading di sini.

Jurujual syarikat perabot Nur Auini Hamidan, 48, berkata beliau sepatutnya masuk ke pejabatnya di Likas di sini pagi ini, namun tidak dapat berbuat demikian kerana jalan di sekitar Telipok dan Jalan Sulaman telah dinaiki air. 

“Rumah saya di Gayang juga terputus bekalan elektrik dan air mula melimpah ke jalan. Ramai jiran dan rakan saya tidak dapat ke tempat kerja kerana jalan tidak dapat dilalui. Perkara ini tidak ada penyelesaian, lama sudah jadi bila hujan lebat banjir teruk,” katanya.

Tinjauan di sekitar Jalan Sulaman di sini mendapati, jalan itu penuh sesak sepanjang kira-kira 3 kilometer dengan kenderaan tidak dapat bergerak dan diparkir di bahu jalan, kerana beberapa bahagian jalan itu tidak dapat dilalui kenderaan biasa. 

Misnur Ali, 71, pesara meluahkan kebimbangan dengan arus deras di Sungai Tuaran yang terletak berhampiran rumahnya, akibat hujan lebat berterusan itu. 

“Saya tinggal di sini sejak kecil dan orang kampung jika mahu lihat ada petanda bencana mereka lihat sungai, arus sungai hari ini deras jadi kami risau jika ada banjir besar melanda. Selain itu penduduk yang menyara hidup dengan sungai seperti membuat kelong dan menjadi nelayan, tentu terjejas,” katanya. 

Beliau berkata selain itu penduduk yang tinggal di rumah atas air di sungai itu, turut bimbang dengan keselamatan mereka dan berharap pihak berkuasa dapat memberikan bantuan seperti tempat tinggal sementara kepada mereka.

Peniaga kedai makan Hamidah Rahmat, 51, di Kampung Lapasan di sini, bimbang apabila air banjir mula masuk ke premis perniagaannya pagi ini dan hanya membenarkan pelanggannya membungkus makanan. 

“Bahaya jika benarkan pelanggan makan di kedai kerana air boleh naik tiba-tiba seperti tahun lepas. Mungkin kerana kawasan ini pembangunan pesat dengan jalan raya baharu sedang di bina di depan Telipok itu, jadi air susah mengalir keluar,” katanya. 

Beliau berharap ada insiatif daripada pelbagai pihak terutama kerajaan negeri bagi membantu mereka yang terkesan akibat banjir ini, dan mengambil tindakan bagi mengelakkan kejadian banjir itu berulang. 

Setakat berita ini ditulis, hujan lebat masih berterusan dan Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran cuaca waspada tahap kuning untuk hari ini dan esok bagi negeri ini serta Labuan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan