KUALA TERENGGANU, 1 Okt -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mencatat kutipan kompaun berjumlah RM759,541 dalam tempoh dua bulan lepas susulan penawaran diskaun hingga 70 peratus ke atas kompaun yang dilaksanakan sejak 3 Ogos lepas.
Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata orang ramai memanfaatkan sepenuhnya diskaun berkenaan yang berakhir semalam dengan menjelaskan kompaun masing-masing yang dikenakan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
“Mengikut statistik pada Ogos, jumlah kutipan ialah sebanyak RM575,143, manakala September pula RM184,398.
"Bayaran kompaun melibatkan pelbagai kesalahan termasuk cukai jalan tamat tempoh, kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), tiada lesen memandu kompeten (CDL) serta kesalahan teknikal,” katanya kepada pemberita selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya kepada penunggang pesanan makanan (food rider) di Ibu Pejabat JPJ Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Sementara itu, Zulkarnain berkata pihaknya turut melaksanakan program kesedaran bagi memastikan penunggang motosikal di bawah syarikat pengendali penghantaran makanan dalam talian seperti Foodpanda, GrabFood dan Oda Makan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya sebagaimana yang telah ditetapkan kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial