IPOH, 1 Okt -- Para pengkaji dan peminat sejarah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak disaran memanfaatkan bahan-bahan dan kemudahan yang ditawarkan Arkib Negara Malaysia negeri Perak.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata sehingga kini sebanyak 22,728 rekod yang disimpan di premis itu telah didaftarkan di dalam aplikasi berkomputer dikenali sebagai 'Computerised Archival System And Services' (COMPASS) mengandungi rekod rasmi jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, badan berkanun serta kerajaan tempatan.
"Arkib Negara Malaysia negeri Perak turut menyimpan rekod-rekod tidak rasmi seperti rekod NGO, persatuan, rekod agensi swasta, orang perseorangan dan surat-surat peribadi," katanya ketika berucap pada majlis perasmian bangunan Arkib Negara Malaysia negeri Perak di Meru, di sini, hari ini yang disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Menurut Nancy, bangunan berkenaan yang siap dibina pada 18 Julai 2019 mampu memenuhi harapan kerajaan serta rakyat dalam pemuliharaan warisan sejarah negara dan pihaknya akan menggandakan usaha bagi memasyarakatkan bahan-bahan arkib sama ada melalui penerbitan, pameran dan sebagainya.
"Kami akan sentiasa memberikan sokongan ke arah memperkembangkan lagi khazanah warisan sejarah kita untuk dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat," katanya.
Arkib Negara Malaysia negeri Perak ditubuhkan pada 1 Okt 1993 yang ketika itu dikenali sebagai Arkib Negara Malaysia cawangan Perak dan beroperasi di Bangunan Seri Kinta, Jalan Sultan Idris di sini sebelum berpindah ke bangunan baharu di Meru mulai Okt 2019.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial