EKONOMI

Cawangan Maybank dibuka sehingga 7 petang bagi permohonan bantuan pembayaran balik

29/09/2020 10:52 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept  -- Cawangan Malayan Banking Bhd (Maybank) di seluruh negara, kecuali yang berada dalam zon merah, akan terus dibuka sehingga jam 7 petang mulai hari ini dan esok (Rabu) untuk memberi kemudahan tambahan kepada pelanggan bagi pertanyaan serta permohonan Bantuan Pembayaran Balik memandangkan penamatan moratorium selama enam bulan.

Maybank mengingatkan para pelanggannya yang terjejas akibat pandemik agar segera menghubungi bank sekiranya mereka ingin memohon Bantuan Pembayaran Balik untuk pinjaman/pembiayaan mereka.

Maybank juga ingin menjelaskan bahawa status CCRIS peminjam yang mengambil bantuan pembayaran balik tidak akan berubah.

Selain melanjutkan waktu operasi, Maybank juga menawarkan 3 saluran mudah untuk memohon Bantuan Pembayaran Balik merangkumi permohonan dalam talian melalui Maybank2u (untuk pelanggan individu & Perniagaan Sewa Beli), permohonan melalui e-mel weassist@maybank.com (pelanggan individu) atau SMErelief@maybank.com (bagi pelanggan PKS), dengan memberikan nama, nombor telefon, jenis pinjaman (contoh: gadai janji, sewa beli, pembiayaan pinjaman berjangka), nombor kenderaan (untuk sewa beli), status pekerjaan dan sebab permohonan.

Mereka juga boleh menghubungi mana-mana cawangan Maybank, Pusat PKS atau Pusat Pembiayaan Auto (mana yang berkaitan) di seluruh negara.

Maybank ingin memaklumkan kepada mereka yang telah memohon Bantuan Pembayaran Balik tetapi masih belum mendapat sebarang jawapan bahawa permohonan mereka sedang diproses, pihak bank akan berhubung dengan mereka secepat mungkin mengenai pembayaran pinjaman mereka bagi Oktober dan seterusnya.

Sementara itu, pelanggan yang tidak memohon untuk Bantuan Pembayaran Balik diingatkan meneruskan pembayaran bagi pinjaman/pembiayaan mereka mulai Oktober 2020.

Mereka yang menjangka kesukaran untuk membayar ansuran bulanan mereka selepas moratorium, masih boleh menghubungi bank bagi berbincang tentang pakej pembayaran balik untuk memenuhi keperluan kewangan semasa mereka.

Bagaimanapun, pelanggan ini disarankan untuk memohon bantuan pembayaran sebelum tarikh ansuran Oktober supaya status kredit mereka tidak terjejas.

Pelanggan yang memerlukan maklumat lanjut mengenai Bantuan Pembayaran Balik Maybank boleh melayari www.maybank2u.com.my/covid19 atau hubungi Khidmat Pelanggan Maybank di talian 1-300 88 6688, dan tekan *1 untuk “Bantuan Pembayaran Balik”.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan