KUALA LUMPUR, 25 Sept -- Polis mengesahkan tiada penglibatan orang dalam semasa kejadian samun barang kemas dan emas bernilai lebih RM3 juta di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) di sini, Isnin lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata polis telah menubuhkan satu pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur bagi meneliti kesamaan dan kaitan kes berkenaan dengan beberapa kes samun barangan kemas di seluruh negara.
"Polis Kuala Lumpur sedang melihat kesamaan kejadian di Besraya dan kes sebelum ini di Perak, Pulau Pinang dan beberapa kejadian lain bagi membantu siasatan sama ada wujud pembabitan suspek sama atau tidak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata pihaknya masih memburu suspek dan sudah mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut.
Mengulas lanjut, Saiful Azly berkata hanya lapan individu telah selesai diambil keterangan berhubung kes samun itu termasuk seorang pemandu e-hailing yang merakam kejadian tersebut.
Dalam kejadian pada 3.35 petang Isnin itu, seorang jurujual sebuah syarikat pengedar emas dan rakannya cedera selepas pacuan empat roda dinaiki mereka dihalang dan dipecahkan cermin oleh tiga lelaki bersenjatakan parang yang menaiki dua pacuan empat roda.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin sebelum ini dilaporkan berkata kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuchai Lama menghala ke Sungai Besi untuk mengedarkan barangan kemas ke kedai emas di sekitar Lembah Klang.
Suspek dikatakan menyamun barangan kemas dan emas bernilai lebih RM3 juta, wang tunai RM67,000 serta melarikan kereta mangsa sebelum kenderaan berkenaan ditemukan dibakar di Damansara, Petaling Jaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial