BOGOTA, 23 Sept -- Usaha global untuk memastikan semua negara mendapat akses kepada vaksin COVID-19 tanpa mengira kedudukan ekonomi sudah mula menampakkan hasil.
Mexico, Argentina, Brazil, Chile, El Salvador dan Colombia mengumumkan mereka dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menjalankan ujian perubatan dengan tiga vaksin berbeza.
"Terdapat banyak inisiatif daripada syarikat farmaseutikal yang berbeza untuk menguji vaksin mereka. Tetapi dalam kes ini, WHO akan memilih tiga jenis vaksin yang paling meyakinkan, dan ia akan menjalankan ujian klinikal di 20 negara di seluruh dunia, enam daripadanya berada di Amerika,” Agensi Anadolu (AA) pada Selasa memetik Menteri Kesihatan Colombia, Fernando Ruiz.
WHO dalam pengumuman pada Isnin menyatakan, 156 negara berpendapatan tinggi, rendah dan sederhana telah mendaftar dengan Covax, inisiatif yang bertujuan menyokong pembangunan dan pengagihan dua bilion dos vaksin COVID-19 sebelum penghujung 2021.
Brazil, Chile dan Argentina juga telah mengumumkan mereka bergabung dengan pakatan global lain yang ingin membeli dan mengagihkan vaksin COVID-19.
Lebih enam bulan selepas kes COVID-19 pertama disahkan di Brazil, pandemik tersebut masih berleluasa di negara ini, antara sebab sekurang-kurangnya empat vaksin percubaan menjalankan ujian klinikal di sana.
Brazil mencatatkan 33,536 kes COVID-19 tambahan dalam 24 jam terakhir dan 836 kematian akibat penyakit itu, kata Kementerian Kesihatan pada Selasa. Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Brazil sejak Februari kepada 4,558,040 termasuk 137,272 kematian.
Menteri Luar Mexico, Marcelo Ebrard, berkata negara itu mendaftar untuk percubaan vaksin COVID-19 Tahap 3 dengan lebih banyak syarikat dari seluruh dunia.
Sementara jumlah kes COVID-19 di negara ini meningkat kepada 705,263, jumlah kematian mencecah 74,348, menurut data dari Kementerian Kesihatan. Bagaimanapun, jumlah sebenarnya lebih tinggi di negara Amerika Tengah berikutan kekurangan peralatan ujian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial