Sabtu, 26 September 2020
AM
16/09/2020 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept  -- Tindakan tegas pihak berkuasa dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini menyaksikan 122 individu termasuk dua tekong ditahan dalam Operasi Benteng yang dijalankan semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesemua mereka ditahan kerana memasuki sempadan negara melalui laluan tidak sah dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Operasi Benteng melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta penularan pandemik COVID-19.

“Sebanyak 79 sekatan jalan raya Operasi Benteng dilaksanakan semalam membabitkan PDRM (57), Aksem (10) dan ATM (15),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP), beliau berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki hari ke-182 semalam menyaksikan seramai 68 individu ditahan atas kesalahan melanggar SOP.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 66 individu dikompaun manakala dua direman.

“Antara kesalahan ingkar PKP ialah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (21), tidak memakai pelitup muka (18), gagal melunaskan bil kuarantin (3) dan tangkapan pendatang tanpa izin (2),” katanya.

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai lepas hingga semalam, 29,438 individu pulang ke tanah air dari 32 negara dan kesemua mereka ditempatkan di 72 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian tinggi swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

"Daripada jumlah itu, 9,737 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 19,630 individu telah didiscaj serta dibenarkan pulang,” katanya.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata mereka yang berkenaan pulang dari Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu.

Negara lain ialah  Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan