PUTRAJAYA, 16 Sept -- Kementerian Perpaduan Negara hari ini melancarkan video lagu ‘Saya Anak Malaysia’ yang telah disusun semula, bagi menyemarakkan semangat perpaduan sempena sambutan Hari Malaysia 2020.
Menterinya Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, turut dianjurkan adalah pertandingan fotografi dan video bermula hari ini (16 Sept) sehingga 4 Okt, bertemakan ‘Saya Anak Malaysia’ dan ‘Malaysia Prihatin’.
“Ini bertujuan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan mencungkil bakat mereka dalam bidang fotografi dan video. Rakyat Malaysia amat kreatif dalam meluahkan rasa cinta dan sayang kepada negara.
“Melalui lagu popular, ‘Saya Anak Malaysia’, kementerian ingin mengambil peluang ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berkongsi makna perpaduan, dengan cara kreatif mereka tersendiri.
“Pertandingan ini juga diharap akan dapat menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, bagi sambutan Hari Malaysia tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Video lagu ‘Saya Anak Malaysia’ dan dinyanyikan oleh 26 orang artis tempatan yang berbilang bangsa dan peringkat umur itu, boleh dimuat turun daripada laman web dan media sosial kementerian, bagi mengajak rakyat Malaysia bersama menghayati dan menghargai perpaduan Malaysia yang ditampilkan melalui lagu ini.
Penyanyi asal lagu berkenaan ialah dR. Sam yang pada awal kariernya popular dengan lagu berentak reggae pada tahun 1980-an.
Sementara itu bagi pertandingan fotografi dan video, kedua-duanya bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia menzahirkan pengertian perpaduan di Malaysia, melalui secara kreatif dan tersendiri menerusi lensa kamera.
Rakyat Malaysia dijemput untuk menyertai pertandingan itu dengan memuat naik gambar atau video mereka berdasarkan tema ‘Saya Anak Malaysia’ dan ‘Malaysia Prihatin’ di laman sosial masing-masing, berserta tanda pagar #SayaAnakMalaysia2020 serta #MalaysiaPrihatin.
Bagi penyertaan video, setiap karya yang dikongsikan perlu mencerminkan perpaduan rakyat Malaysia dan dihantar kepada perpaduankita2020@gmail.com, berserta nama penuh, nombor telefon, akaun media sosial dan pautan 'link' kepada video masing-masing.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi KPN di www.perpaduan.gov.my atau laman Facebook rasmi di www.facebook.com/PerpaduanNegara/ atau @PerpaduanNegara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial