POLITIK

PRN Sabah: Bekas pemandu bot calon tertua mahu buktikan usia bukan penghalang

14/09/2020 11:24 AM

Oleh Hasnah Jusid

SEMPORNA, 14 Sept -- Usianya sudah mencecah 75 tahun, namun Taraji Jamdi, calon tertua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang mewakili Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) mahu membuktikan bahawa beliau mampu menjadi wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri Bugaya. 

Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Keramat dekat sini, Taraji, bapa kepada tiga anak lelaki dan empat anak perempuan berkata beliau sihat serta masih kuat dan berupaya untuk menjalankan tugas sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Anak kelahiran Kampung Bubul Semporna itu berkata beliau sudah lama bercita-cita mahu bertanding  menjadi wakil rakyat dan bersyukur hasrat itu akhirnya tercapai walaupun pada lewat usianya.

“Saya bercadang mahu mewujudkan sekurang-kurangnya dua kilang perusahaan kecil dan sederhana  berkaitan perikanan dan produk akhir hasil laut itu di kawasan ini bagi memberi peluang pekerjaan kepada penduduk dan mereka tidak perlu keluar berhijrah lagi,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini. 

Ketua Bahagian PPRS Semporna itu bakal berdepan dalam persaingan tujuh penjuru di kawasan itu dengan calon daripada Warisan, USNO, Parti Cinta Sabah (PCS), Perikatan Nasional (PN-Bersatu) serta dua calon bebas. 

Taraji yang berketurunan Bajau dan pernah bekerja sebagai pemandu bot di Jabatan Pertanian Semporna berkata beliau juga mahu isu-isu kebajikan rakyat dan pendidikan serta taraf hidup rakyat diberikan fokus utama sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan itu. 

Ditanya keyakinan beliau untuk memenangi kerusi berkenaan, Taraji berkata beliau serta jentera akan bekerja keras untuk memenangi hati pengundi di kawasan itu dan tiada yang mustahil dalam politik.

Sementara itu, anak kedua Taraji, Sahipul Muluk, 45, berkata mereka sekeluarga sentiasa menyokong ayahnya dalam apa jua keputusan yang diambil. 

Bimbang dengan situasi COVID-19 ketika ini, Sahipul berkata ayahnya serta jentera kempen akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko. 

DUN Bugaya memiliki seramai 20,267 pemilih berdaftar, 47 saluran mengundi dan sembilan Pusat Daerah Mengundi, dengan majoriti penduduknya terdiri daripada bangsa Bajau dan Suluk yang bekerja sebagai nelayan dan petani. 

Kebanyakan pengundi di kawasan itu berusia 30 hingga 39 tahun (30.67 peratus) diikuti 40 hingga 49 (20.17 peratus) dan mereka yang berumur 70 hingga 79 hanya 3.12 peratus. 

Kerusi Bugaya disandang oleh Manis Muka Mohd Darah daripada Warisan yang turut bertanding mempertahankan kerusi itu kali ini di atas tiket yang sama. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan