EKONOMI

Matrade keluarkan direktori Pusat Sumber Pemetaan Malaysia

07/09/2020 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 7 Sept -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MoF) dan Bank Pembangunan Islam (IsDB), telah mengeluarkan direktori lengkap yang menyenaraikan kepakaran Malaysia yang dapat memberikan penyelesaian pembangunan kapasiti kepada negara-negara anggota IsDB.

Direktori itu, yang dinamakan Pusat Sumber Pemetaan Malaysia (MMRC), mengandungi maklumat mengenai organisasi Malaysia (dirujuk sebagai pusat sumber) yang terdiri daripada agensi kerajaan, institusi swasta dan syarikat.

Ia susulan penyertaan Malaysia dalam IsDB Reverse Linkage Programme, mekanisme Kerjasama Selatan-Selatan yang memberi tumpuan kepada penyelesaian pembangunan khusus di negara-negara anggota IsDB. 

Direktori itu turut memudahkan aturan yang saling memberi manfaat antara negara, melibatkan pemindahan dan penyediaan kepakaran, pengetahuan dan teknologi oleh negara penyedia kepada negara-negara yang memerlukan perkhidmatan tersebut.

"Sebagaimana ditetapkan tumpuan Malaysia untuk IsDB Reverse Linkage Programme, Matrade menyelaraskan penyertaan sektor awam dan swasta dengan IsDB menyalurkan kepakaran Malaysia untuk membantu membangunkan sektor utama di negara-negara anggota IsDB.

“Penerbitan Matrade untuk direktori MMRC menyenaraikan lebih 60 Pusat Sumber daripada pelbagai sektor, antara lain, termasuklah pembinaan dan perkhidmatan yang berkaitan, logistik, kewangan Islam, pertanian dan R&D, perkhidmatan berkaitan minyak dan gas serta teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Direktori MMRC dapat diakses secara percuma di platform tontonan e-book Matrade di http://www.matrade.gov.my/documents/ebook/mmrc_2020/, bersama dengan banyak penerbitan yang berkaitan dengan perdagangan antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Matrade di www.matrade.gov.my.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan