AM

Pencemaran bau Sungai Gong: Empat pengurus kilang direman enam hari

05/09/2020 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept -- Empat pengurus kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang direman enam hari bermula hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata kesemua suspek lelaki berumur dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun itu direman sehingga Khamis depan. 

"Kita mendapat perintah reman terhadap kesemua suspek selama enam hari untuk siasatan lanjut," katanya kepada Bernama. 

Noor Azam berkata, keempat-empat suspek merupakan adik-beradik yang menguruskan kilang itu selepas kematian bapa mereka. 

Perintah reman dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Nurul Mardhiah Mohamed Redza ke atas kesemua suspek. 

Terdahulu, kesemua mereka dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang kira-kira 9.45 pagi ini selepas ditahan malam tadi.

Noor Azam berkata tiga suspek ditahan di kediaman mereka di Selayang pada kira-kira 11.20 malam manakala seorang lagi suspek ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bersama peguamnya pada 12.30 tengah malam tadi. 

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek dibawa ke Ibu IPD Gombak untuk siasatan selanjutnya.

Ekoran pencemaran minyak daripada kilang itu pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. 

Sementara itu, menjelaskan lanjut Noor Azam berkata siasatan terhadap empat beradik yang direman itu akan dibuat secara menyeluruh termasuk sama ada ia melibatkan unsur khianat.

Menurut beliau, pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kejadian ini akan meneliti semua laporan dan kajian terhadap pencemaran yang disyaki berpunca akibat perbuatan empat suspek itu.

Jelasnya, siasatan juga akan mengambil kira laporan dan kenyataan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Air Selangor.

“Kita akan menjalankan siasatan terperinci dalam tempoh reman ini sebelum melengkapkan siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau turut berharap semua pihak memberikan ruang kepada pasukannya untuk menjalankan siasatan terhadap suspek mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan