AM

Labuan FM semarakkan Merdeka dengan Jalur Gemilang 63 meter

31/08/2020 04:55 PM

LABUAN, 31 Ogos -- Bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 hari ini, Labuan FM menganjurkan program berbasikal Aspirasi Merdeka 2020 membabitkan 150 peserta ke puncak Bukit Kubong.

Program itu merupakan aktiviti Radio Di Lokasi (RDL) yang membawa kakitangan Labuan FM bersama warga Wilayah Persekutuan Labuan untuk memupuk semangat cintakan tanah air membabitkan kayuhan sejauh 13.9 km bermula dari Dataran Labuan.

Setibanya di puncak Bukit Kubong, peserta merentangkan Jalur Gemilang sepanjang 63 meter bersempena 63 tahun Malaysia telah merdeka, sambil menyanyikan lagu Negaraku dan melaungkan “Merdeka”.

Timbalan Pengarah Penyiaran Labuan Fauziah Mohd Sidek berkata acara berbasikal membawa Jalur Gemilang itu antara lain berobjektif untuk menerapkan nilai-nilai murni seperti cintakan tanah air, berdisiplin, semangat patriotik, cintakan negara, memupuk perpaduan kaum dan etnik serta memperkukuh jati diri.

Beliau berkata secara tidak langsung program itu turut mempromosi Labuan FM di peringkat akar umbi selain menguar-uarkan kemudahan terkini yang disediakan seperti RTM Mobile, Myklik dan lain-lain lagi.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Labuan, Jabatan Penerangan Labuan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Kelab Sukan Jabatan Belia dan Sukan Labuan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan