SUKAN

KAFA SERAH DOKUMEN TUBUH KELANTAN FC

28/08/2020 05:22 PM

KOTA BHARU, 28 Ogos -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sudah menyerahkan segala dokumen yang diperlukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi tujuan penubuhan Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC) selaras dengan penswastaan pasukan pada 2021.

Penasihat Undang-Undang KAFA Alawi Mohd Rashid berkata kelulusan penubuhan Kelantan FC itu akan dimaklumkan oleh FAM pada September ini.

"KAFA telah menubuhkan sebuah syarikat yang dikenali sebagai Team Red Warriors Sdn. Bhd akan diberikan hak dan tanggungjawab untuk mengendali dan menguruskan pasukan Kelantan FC.

"Syarikat Team Red Warriors Sdn. Bhd yang menguruskan Kelantan FC akan bertanggungjawab sepenuhnya mencari pemain-pemain dan jurulatih termasuklah urusan pembayaran gaji," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Alawi berkata segala kos pengurusan pasukan, perlawanan dan sebagainya juga perlu ditanggung oleh Team Red Warriors Sdn. Bhd.           -- LAGI

"Penswastaan itu nanti akan menyaksikan KAFA dan Kelantan FC akan terpisah serta mempunyai entiti masing-masing. Selepas ini, KAFA tidak lagi mempunyai apa-apa hak dan tanggungjawab ke atas Kelantan FC,” katanya.

Belau berkata Kelantan FC juga tidak akan terikat dengan bebanan hutang lapuk KAFA sebelum ini.

"Selepas ini KAFA hanya akan terlibat dengan aktiviti-aktiviti pembangunan bola sepak seperti menganjurkan pertandingan Liga Tempatan, pertandingan bawah umur dan banyak lagi," katanya.

Katanya, isu yang timbul dalam seminggu dua ini berkenaan penjualan pasukan bola sepak pada hakikatnya adalah penjualan dan pengambilalihan syarikat Team Red Warriors Sdn. Bhd dan bukannya KAFA.

"Mana-mana pihak yang ingin membeli dan mengambil alih pasukan bola sepak Kelantan hendaklah membeli saham-saham dalam syarikat tersebut dan seterusnya mendapat hak untuk menguruskan Kelantan FC dalam pertandingan musim 2021," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan