AM

Suburkan kefahaman Rukun Negara

27/08/2020 05:02 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos -- Soal perpaduan iaitu kerukunan dalam masyarakat dan ulang tahun ke-50 Rukun Negara amat penting untuk menyuburkan semula kefahaman mengenai Rukun Negara, kata Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (Legasi) Datuk Jefridin Atan.

"Rukun Negara bukan sahaja dibaca dan tahu, tetapi dihayati. Lima prinsip Rukun Negara menjadi tonggak kepada perpaduan kita bersama sebagai masyarakat majmuk dan ia adalah kelebihan dalam membina negara dan bangsa," katanya.

Menurutnya, antara isu semasa yang menyebabkan masalah kerukunan di negara ini adalah seperti bendera terbalik, isu perkauman serta salah faham dalam kalangan anak muda di media sosial sehingga menghentam sesama sendiri dan bangsa.

"Kalau negara tidak aman, tidak ada kerukunan, kita tidak akan maju dari segi ekonomi dan apa jua pembangunan yang dibawa kerajaan," katanya.

Jefridin berkata demikian pada Forum Kemerdekaan dan Aspirasi Belia 2020 bertajuk ‘Hubungan Agama dan Ideologi Negara di Nusantara: Generasi Muda Pewaris Legasi Tanah Air’, yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, di sini hari ini.

Reezal Merican dalam ucapannya pula berkata elemen patriotisme dan jati diri tidak wajar sama sekali dipinggirkan golongan belia dalam merencana jalan hadapan bangsa, negara dan rantau nusantara untuk dekad akan datang.

"Generasi muda dan belia Malaysia hari ini, mesti mempunyai ‘wisdom’ dan kematangan dalam menelusuri nilai sejarah. 

"Nilai murni dan patriotisme turut merujuk kepada perkara seperti kefahaman tentang sistem pentadbiran, rasa bangga menjadi rakyat, perasaan kekitaan yang luhur, nyala setia negara yang tidak pernah padam, mahupun kekuatan disiplin dan daya saing," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan