EKONOMI

MARDI lancar empat produk inovasi makanan

27/08/2020 01:41 PM

SERDANG, 27 Ogos -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini melancarkan empat produk inovasi makanan termasuk keropok lekor yang mampu kekal lembut dan rangup biarpun sudah sejuk selepas beberapa jam digoreng.

Tiga lagi produk yang dilancarkan MARDI hari ini ialah pracampuran tepung perata tanpa gluten dari ubi kayu dan bayam; pemanis mulut  bebas laktosa dari ubi keledek ungu bersama santan sawit;  dan sup ikan talapia merah dengan cendawan yang tinggi protin.

Pegawai penyelidik kanan MARDI, Nor Salasiah Mohamed berkata teknologi inovasi keropok lekor sejuk beku berkenaan yang bernilai RM20,000 dihasilkan MARDI  melalui penyelidikan selama dua tahun. 

“Selain rasa ikan yang lebih ketara, teknologi inovasi keropok lekor MARDI turut mengatasi masalah keropok lekor yang keras dan liat apabila sejuk,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran itu.

Setakat ini, Salasiah berkata, dua pengusaha keropok lekor iaitu Rara Lekor, dan KLOG atau Keropok Lekor Orang Ganu sudah membeli teknologi inovasi keropok lekor MARDI itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah yang melancarkan keempat-empat produk itu di MARDI di sini berkata penyelidikan yang dijalankan MARDI akan membolehkan usahawan tempatan meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

“MARDI telah banyak hasilkan  penemuan yang berjaya. Usahawan  perlu bekerjasama dengan MARDI  dalam menghasilkan penemuan baharu dalam penyelidikan makanan,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan