EKONOMI

PERMOHONAN BRF BAGI SYARIKAT BUMIPUTERA TERJEJAS COVID-19 KINI DIBUKA - NOH OMAR

25/08/2020 03:03 PM

SHAH ALAM, 25 Ogos -- Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) membuka permohonan bagi pembiayaan inisiatif khas, Pembiayaan Mudah Bumiputera (BRF) berjumlah RM200 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bermula hari ini.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata inisiatif itu menawarkan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta bagi membantu syarikat bumiputera yang terjejas akibat COVID-19 untuk meneruskan operasi.

“Pembiayaan itu akan ditawarkan sehingga habis disalurkan,” katanya semasa mengumumkan pembukaan permohonan BRF di sini hari ini.

Beliau menjangkakan BRF akan memberi manfaat kepada 200 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara dan penerima akan diberikan penangguhan pembayaran selama enam bulan secara automatik dari tarikh pengeluaran dana. 

Inisiatif itu terbuka kepada PKS dalam sektor peruncitan dan pengedaran perdagangan, pembuatan dan kejuruteraan, automasi sistem, kesihatan, hospitaliti, penggerak perniagaan, logistik, penggudangan serta perkhidmatan dan industri kreatif.

Syarikat yang layak memohon perlu sekurang-kurangnya 70 peratus milik bumiputera dan mempunyai perolehan jualan RM300,000 setahun.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di portal rasmi PUNB, www.punb.com.my.

Kadar keuntungan yang dikenakan hanya 3.5 peratus setahun dengan tempoh pembayaran maksimum sehingga lima tahun enam bulan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan