AM

ADUN Ayer Hangat Speaker DUN Kedah baharu

25/08/2020 12:19 PM

ALOR SETAR, 25 Ogos -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat Juhari Bulat hari ini dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang baharu.

Pelantikan beliau dibuat pada sesi persidangan DUN di sini bagi menggantikan Datuk Ahmad Kassim yang meletak jawatan pada 15 Ogos lepas.

Juhari sebelum ini merupakan  Timbalan Speaker DUN bermula 4 Julai 2018 yang dilantik ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Turut dilantik hari ini, ADUN Pantai Merdeka Ahmad Fadzli Hashim sebagai Timbalan Speaker yang baharu.

Terdahulu sidang DUN sedikit tegang apabila Ketua Pembangkang Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi mempertikaikan pelantikan speaker yang didakwa tidak mengikut prosedur yang betul.

Phahrolrazi mendakwa ahli dewan tidak menerima notis kekosongan jawatan speaker.

Sidang DUN kali ini yang berlangsung dua hari hingga esok adalah kali pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah yang mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PH pada Mei lepas.

Pada 17 Mei lalu, ADUN Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang sebelum itu meletak jawatan susulan hilang sokongan majoriti ADUN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan