KUANTAN, 24 Ogos -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini berkata tiada anak sungai di Bukit Ketam di sini, yang disebut sebagai lokasi pembangunan Tapak Pelupusan Kekal (PDF) kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas).
Beliau berkata keputusan memilih Bukit Ketam sebagai tapak juga diputuskan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
"Itu adalah agensi yang mempunyai kepakaran dalam hal ini, Saya dan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak) telah melawat tapak yang katanya ada anak sungai, tapi bila pergi, kami dapati tiada pun.
"Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang (Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin) dan ADUN Benta (Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak) juga telah melawat tapak itu dan dakwaan itu tidak benar," katanya, pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Semambu) yang ingin tahu sama ada pemilihan Bukit Ketam telah melalui kajian yang teliti.
Menurut Lee, kajian itu perlu kerana terdapat dakwaan bahawa lokasi itu adalah kawasan tadahan air dan pembinaan PDF di situ dibimbangi boleh mendatangkan risiko terhadap akitviti pengambilan air kepada kira-kira 600,000 penduduk Kuantan.
Pembinaan PDF bagi sisa buangan Water Leached Purification (WLP) merupakan antara syarat dalam pelanjutan lesen operasi Lynas yang diumumkan AELB pada tahun lalu, yang difahamkan akan dibina di tapak seluas 12 hektar di Bukit Ketam.
Bagaimanapun, keputusan pembinaan itu masih belum muktamad kerana ia bergantung kepada laporan Penilaian Impak Radioaktif (RIA) dan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial