AM

PRK DUN Slim: Mohd Zaidi minta pengundi pulang mengundi

23/08/2020 06:40 PM

TANJUNG MALIM, 23 Ogos -- Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz meminta pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang tinggal di luar kawasan itu supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu depan.

Beliau berkata pihaknya setakat ini telah mengenal pasti terdapat lebih 3,000 pengundi terutama golongan muda yang berada di luar DUN itu.

"Kita telah menghubungi mereka dan meminta mereka pulang dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis Bilik Gerakan MIC di Pekan Trolak di sini, hari ini.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi, 43; dan dua calon Bebas iaitu S. Santhasekaran, 44; dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38. Sebanyak 23,094 pengundi layak mengundi pada PRK itu.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.

Sementara itu, Mohd Zaidi sekali lagi menyatakan komitmen untuk memperjuangkan nasib masyarakat di DUN Slim tanpa mengira kaum, jika mendapat mandat rakyat.

"Selepas sembilan hari berkempen dan menyelami denyut nadi pengundi termasuk masyarakat Cina dan India, saya yakin dapat membantu menyelesaikan permasalahan yang mereka hadapi apabila diberi mandat nanti seperti isu perumahan dan bantuan perniagaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan