KUALA LUMPUR, 18 Ogos -- Peningkatan jumlah bungkusan Pos Laju sebanyak 41 peratus kepada 4.86 juta unit sepanjang Januari hingga Julai 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu di Sabah, memberi isyarat rakyat negeri itu semakin aktif dalam arena e-dagang.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan hari ini berkata aktiviti e-dagang dapat meningkatkan ekonomi Sabah terutama apabila penjualan produk dari negeri itu dapat ditingkatkan.
"Ini memerlukan prasarana sokongan yang mampan, termasuk perkhidmatan pos dan kurier yang cekap.
"Penubuhan Pusat Pos Laju terbaru di Lok Kawi, Sabah yang mampu mengendalikan 60,000 bungkusan sehari adalah lonjakan daripada kapasiti 4,000 bungkusan sehari sekaligus memberi peluang pekerjaan baharu kepada penghantar sambilan atau Pos Riders yang kini berjumlah 204 orang," katanya.
Menurut SKMM, operasi Pusat Pos Laju Lok Kawi menjadikan khidmat penghantaran lebih cepat dan sistematik di kawasan liputannya serta mengatasi kelewatan penghantaran yang terjadi akibat peningkatan aktiviti e-dagang semasa pandemik COVID-19.
Agenda memajukan perkhidmatan pos dan kurier di Sabah dan Sarawak diberikan sokongan padu oleh SKMM untuk menepati keperluan pengguna.
Setakat ini, di seluruh Sabah terdapat 44 pejabat pos, enam pos mini, lapan pusat Pos Laju, satu kiosk Pos Laju, empat pusat pemprosesan mel dan sembilan pos bergerak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial