SUKAN

KRM perkukuh kerjasama dengan Fakulti Sains Sukan UiTM

17/08/2020 03:43 PM

SHAH ALAM, 17 Ogos -- Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bagi mengukuhkan kerjasama institusi akademik itu dan badan induk ragbi negara.

MoU itu ditandatangani Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim dan Presiden KRM Datuk Shahrul Zaman Yahya, disaksikan Dekan FSR Prof Madya Dr Mohad Anizu Mohd Nor dan Timbalan Presiden KRM Mohamad Fahmy Abdul Jalil.

“Kerjasama di antara UiTM dan KRM telah terjalin hampir lima tahun dalam bentuk khidmat kepakaran pensyarah FSR dalam pembangunan dan persediaan atlet ragbi negara selain penglibatan pelajar FSR yang beraksi bersama skuad ragbi kebangsaan.

“Kita harap dengan termeterainya MoU hari ni kerjasama dapat diperluaskan, khusus dalam memperkukuh dan memperkasa sukan ragbi negara,” kata Mohd Azraai dalam sidang media majlis itu di Bangunan Canselori UiTM di sini, hari ini.

MoU yang ditandatangani itu akan memberi tumpuan kepada enam perkara utama iaitu pertukaran maklumat sains sukan, senaman serta pengurusan organisasi sukan; peluang kerjasama berkaitan aktiviti, penyelidikan dan projek yang menguntungkan kedua-dua pihak; serta penganjuran kursus dan mesyuarat berkaitan sains sukan.

Selain itu, MoU  turut menumpukan pada usaha mewujudkan persefahaman hubungan keusahawanan; menyediakan ruang latihan industri untuk pelajar dan staf FSR di KRM; dan kerjasama dalam bidang berpotensi yang dipersetujui dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Shahrul Yahya berkata kemampuan serta kepakaran dimiliki FSR UiTM akan menjayakan kerjasama tersebut.

“Kita melihat UiTM mempunyai fakulti sains sukan sangat mantap, kita yakin dan percaya bahawa dengan kolaborasi ini akan mendatangkan situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak,” jelas beliau.

Kerjasama di antara UiTM dan KRM telah terjalin sebelum ini melalui FSR yang menawarkan tenaga pakar dalam sains sukan kepada pasukan elit ragbi kebangsaan dan juga pelan pengajaran yang lebih fleksibel kepada atlet ragbi negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan