BENTONG, 10 Ogos -- Pembinaan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang yang baharu dijangka bermula tahun hadapan menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Pengarah Jabatan Lojistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata bangunan baharu itu akan dibina di Kota SAS, Kuantan yang bakal menjadi pusat pentadbiran baharu bagi negeri Pahang.
"Pembinaan bangunan baharu itu dijangka akan mengambil masa antara dua ke tiga tahun selepas dimulakan dan apabila siap kelak, IPK Pahang akan menjadi antara IPK termoden di negara ini.
"Pembinaan IPK Pahang yang baharu itu dilihat perlu memandangkan bangunan sedia ada di Jalan Gambut, Kuantan yang dibina pada tahun 1984 tidak lagi sesuai daripada aspek keluasan dan kapasiti yang semakin tidak mencukupi," katanya.
Rosli berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan.
Beliau juga memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan membina 88 unit tambahan kuarters di Brinchang, Cameron Highlands juga menggunakan peruntukan RMK-12 ekoran kadar sewa rumah yang agak tinggi di daerah itu.
"Pembinaan kuarters ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan pegawai dan anggota di situ kerana elaun perumahan diterima memang rendah berbanding kadar sewa rumah iaitu antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan," katanya.
Selain itu, Rosli juga memaklumkan lebih RM14 juta telah diperuntukkan kepada kontinjen Pahang tahun ini dengan kebanyakannya adalah bagi tujuan pembaikan dan penyelenggaraan bangunan.
Ia melibatkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM740,000; perbelanjaan pembangunan (RM1.4 juta); penambahbaikan stor barang kes Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (RM2.7 juta); pembaikan lokap (RM660,500) dan bagi penggantian lif (RM5.5 juta).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial