SUKAN

Jurulatih, pemain yakin kemampuan Arul bentuk pasukan mantap

06/08/2020 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos -- Barisan pemain dan jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan percaya akan kemampuan Ketua Jurulatih baharu, A Arul Selvaraj dalam membimbing pasukan untuk meraih pingat emas pada Sukan Asia 2022.

Penolong Jurulatih, Muhamad Amin Rahim yang kini menggalas tugas sebagai pengendali interim skuad negara sehingga Arul melapor diri pada 15 Ogos, berkata tempoh dua tahun cukup bagi ketua jurulatih itu menjadikan skuad ‘Speedy Tigers’ sebagai pencabar utama di Hangzhou, kelak.

Beliau berkata campuran pemain muda dan senior pada masa ini, turut akan membantu Arul menyediakan  sebuah pasukan yang mantap untuk meraih pingat emas Sukan Asia, sekali gus menempah slot kelayakan automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kalau ada perancangan dan latihan betul, saya tidak nampak kenapa kita tidak boleh menang emas. Pada Sukan Asia 2018, kita hampir menang emas di bawah kendalian Stephen Van Huizen (menang perak) walaupun tiada jurulatih antarabangsa, jadi saya tidak nampak ia sesuatu yang mustahil dengan cara tempatan  ini.

“Saya rasa untuk peringkat Asia, pasukan seperti Malaysia, India, Pakistan dan Jepun mempunyai peluang seimbang,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pasukan di Stadium Hoki Nasional, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan bekas ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans dalam laporan sebuah stesen televisyen baru-baru ini, bahawa Malaysia tidak mampu meraih emas kerana masih jauh ketinggalan dari segi kualiti pemain dan fasiliti berbanding pasukan seperti India.

Sementara itu, pemain tengah negara, Muhammad Marhan Mohd Jalil turut yakin dengan kemampuan Arul untuk menyediakan pasukan bagi meraih emas Sukan Asia, selepas beraksi di bawah kendalian jurulatih itu selama empat musim bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam saingan Liga Hoki Malysia (LHM).

“Saya harap Arul akan bawa rekod baik di kelab ke pasukan kebangsaan untuk bantu kami dapatkan sentuhan yang positif. Kami harap beliau dapat tingkatkan teknikal dan taktikal barisan pemain sedia ada.

“Kelebihan beliau adalah menerapkan sentimen bahawa pasukan adalah lebih besar daripada individu supaya pemain akan lebihkan kepentingan pasukan berbanding individu. Hubungan beliau dengan pemain juga baik,” katanya.

Bagi pemain pertahanan, Muhammad Razie Abdul Rahim, kenyataan Roelant itu merupakan pandangan peribadinya, namun yakin kemampuan Arul dan rakan sepasukannya untuk menggunakan masa dua tahun untuk berada pada prestasi terbaik.

“Arul seorang yang sangat komited, profesional di luar dan dalam padang..,jadi beliau memang layak memegang jawatan ini. Bagi saya, setiap pemain harus mempunyai sasaran untuk beraksi di pentas Olimpik dan kita perlu bekerja keras untuk mencapai misi itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan