AM

Kemas perluas kaedah e-pembelajaran bagi program pendidikan kemahiran

04/08/2020 07:30 PM

MELAKA, 4 Ogos -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan memperluaskan kaedah pembelajaran dalam talian atau e-pembelajaran bagi enam bidang utama program pendidikan kemahiran, selari dengan cabaran teknologi semasa. 

Ketua Pengarah Kemas Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata inisiatif itu bukan sahaja memudahkan peserta mengikuti program berkenaan, malah menjadi medium penyampaian ilmu dan memberi peluang lebih ramai peserta menyertai program yang ditawarkan. 

Katanya enam bidang utama program pendidikan kemahiran yang dijalankan menerusi e-pembelajaran ialah jahitan, masakan, komputer, seni tangan, dandanan diri dan pendidikan kesejahteraan keluarga.

"Kita mulakan kaedah e-pembelajaran pada Mac lepas susulan COVID-19 menerusi aplikasi YouTube atau medium media sosial lain. Pusat latihan kita memang terhad dan ramai yang ingin menyertainya, salah satu alternatif yang kita gunakan ialah melalui kaedah e-pembelajaran. 

Setakat ini secara purata Kemas hanya menerima kira-kira 40,000 peserta yang ingin mengikuti program yang dijalankan di kelas atau pusat latihan namun pengenalan kaedah e-pembelajaran dijangka akan meningkatkan lagi jumlah peserta pada masa hadapan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Sukarelawan Penyedia Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) Kemas Melaka untuk Petugas Barisan Hadapan Kementerian Kesihatan yang disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali.

Menurut Mohamad Yasid sebanyak 3,084 set PPE terdiri daripada baju makmal, sarung kaki dan tangan pakai buang dihasilkan sukarelawan Kemas yang digunakan petugas hospital di seluruh Melaka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan