AM

Dua hari untuk hayati watak Tunku Abdul Rahman

28/07/2020 03:03 PM

KUANTAN, 28 Julai -- Membawa watak Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi cabaran besar buat penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan di Lipis, kira-kira 250 kilometer dari sini, Muhammad Aslam Mat Razani yang hanya mempunyai masa dua hari untuk menghayati watak itu.

Muhammad Aslam, 20, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata kali terakhir dia membawa watak itu ialah setahun lalu, iaitu semasa dia bersama dua rakan Nur Farah Sahira Ahmad Tarmizi, 21, dan G. Ganenthiran, 21, mewakili Pahang pada pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2019 yang menyaksikan kumpulan mereka 'Pewaris Bangsa' dinobatkan sebagai naib johan. 

“Kami hanya dapat berkumpul semula dua hari lalu memandangkan pengajian sudah ditangguhkan ekoran pandemik wabak COVID-19. Gementar juga bila diberitahu perlu terlibat pada pelancaran Bulan Kebangsaan kerana bimbang persembahan tidak bagus kerana sudah terlalu lama tidak membawa watak penting itu. 

"Paling bimbang jika terkeluar slanga Kelantan sedangkan Tunku Abdul Rahman adalah anak jati Kedah. Jadi untuk jalan selamat, saya mengingatkan diri untuk bertutur dalam bahasa baku sahaja," katanya semasa ditemui pada majlis itu di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini. 

Majlis yang diadakan serentak dengan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang 2020 peringkat negeri itu dirasmikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri barisan kepimpinan kerajan negeri. 

Muhammad Aslam mengakui banyak menonton klip video dan dokumentari yang melibatkan sejarah kemerdekaan bagi mendapatkan 'gaya dan karisma' Tunku Abdul Rahman untuk menghidupkan watak figura tersebut, selain memastikan kedudukan songkok disengetkan sedikit, yang sinonim dengan imej Perdana Menteri Malaysia pertama itu. 

Sementara itu, Farah Sahira yang bertanggungjawab menulis skrip pengisahan bertajuk 'Kita Takkan Lupa' berkata banyak melakukan pembacaan buku-buku sejarah supaya kandungan yang dibawa tepat agar tidak mengelirukan penonton. 

"Saya memilih perjalanan mendapatkan kemerdekaan sebagai tema pengkisahan ini kerana mahu penonton khususnya golongan muda untuk ingat bahawa kemerdekaan bukan mudah, sebaliknya berlaku dengan pengorbanan, kebijaksanaan dan semangat kesatuan yang ada dalam rakyat dan pemimpin terdahulu. 

"Perpaduan itu, yang jika tidak terus dipelihara dapat menyebabkan kita hidup dalam suasana yang tidak harmoni, sedangkan dahulu, rakyat Tanah Melayu tanpa mengira agama dan bangsa sama-sama membantu membiayai pejuang kemerdekaan kita ke London," katanya. 

Sementara itu, Ganenthiran berkata penghayatan dan intonasi suara yang 'padu' diperlukan bagi menjayakan persembahan mereka, kerana peralataan pentas yang dibawa hanya potret Tunku Abdul Rahman dan sebuah kerusi, selain beberapa rakaman klip video pengisytiharan kemerdekaan dan perjalanan ke arah peristiwa bersejarah itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan